TOKYO, 25 MAC – Sebuah syarikat farmaseutikal Jepun berkata hari ini bahawa 26 orang telah dimasukkan ke hospital berhubung suplemen kesihatan yang telah ditarik balik oleh syarikat itu kerana kebimbangan terhadap masalah buah pinggang.
Suplemen tanpa preskripsi itu mengandungi sejenis beras yang difermentasi dengan yis yang dipanggil ‘beni koji’, yang menurut laporan Kobayashi Pharmaceutical telah dibekalkan kepada kira-kira 50 syarikat lain di seluruh dunia.
Syarikat farmaseutikal tersebut pada Jumaat berkata ia secara sukarela menarik balik tiga produk yang mengandungi beni koji, bertujuan untuk menurunkan kolesterol tidak baik, selepas aduan pelanggan.
Hari ini, syarikat yang berpangkalan di Osaka itu berkata mereka sedar tentang 26 kes kemasukan ke hospital, tetapi ‘belum mencapai kesimpulan’ mengenai potensi hubungan antara produk tersebut dan masalah buah pinggang.
“Selepas analisis, kami mendapati kemungkinan bahan mentah yang digunakan untuk membuat beni koji mungkin mengandungi bahan-bahan yang tidak sengaja dimasukkan oleh syarikat kami,” kata Kobayashi Pharmaceutical. – AFP






