Oleh Zaabah HAR
TUTONG – Peringkat Akhir Juara Kugiran 71’ 2017 telah diadakan baru-baru ini sempena sambutan perayaan Ulangtahun Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 Tahun yang berlangsung di pentas perayaan daerah itu.
Pertandingan yang mendapat sambutan meriah dari kalangan pemuzik tempatan serta penggemar seni muzik ini turut menampilkan persembahan mantap dari setiap peserta kumpulan dengan disaksikan olej ratusan peminat serta pengunjung yang hadir.
Ia merupakan sebuah acara pertandingan yang dianjurkan oleh produksi Jasura Entertainment dengan kerjasama ahli jawatan kuasa perayaan.
Sebanyak tujuh buah kumpulan berjaya menempah tempat ke peringkat akhir setelah berjaya melepasi rintangan di peringkat saringan sepanjang pertandingan itu dianjurkan.
Antara kumpulan itu adalah Affela, The Salute, The Pujanggas, Black Firqa, Special Blend, Mix Projection serta Supreme.

Pertandingan itu berlangsung selama empat jam di mana penonton juga turut berpeluang untuk menyaksikan kehadiran Yazit iaitu bekas anggota dan pemain drum dari kumpulan Search yang diundang selaku ahli panel hakim bagi pertandingan peringkat akhir itu
Selain itu penonton juga dihiburkan dengan persembahan muzik oleh Projectiesto selaku kugiran undangan tempatan bagi memeriahkan lagi suasana pertandingan.
Kehebatan persembahan yang ditampilkan oleh setiap kumpulan yang beraksi di pertandingan itu jelas membuktikan betapa arena muzik tempatan juga memiliki pemuzik berbakat yang dapat di ketengahkan sebagaimana mengikut matlamat pertandingan itu dianjurkan.
Sebuah lagu wajib tempatan dan sebuah lagu pilihan menjadi syarat utama bagi pertandingan itu yang mana kebanyakan lagu pilihan adalah dari era 80’an.
Hadiah menarik juga turut diberikan iaitu sebuah piala, sijil penyertaan dan wang tunai kepada para pemenang.
Gelaran Juara Kugiran 71’ 2017 berjaya direbut oleh kumpulan Supreme menerusi persembahan lagu mereka yang cukup mantap menyanyikan lagu Laila Mencanai dan Di Pintu Sepi.
Naib juara pula berjaya disandang oleh kumpulan Affela menerusi lagu mereka Padian dan Keindahan Pantai.
Manakala tempat ketiga peringkat akhir pula dimenangi oleh kumpulan Mix Projection menerusi lagu persembahan mereka Anak Durhaka dan Kembara Kita.
Penyampaian hadiah kepada semua pemenang telah disempurnakan oleh Pemangku Pengurus Stesen RTB cawangan Daerah Tutong, Hajah Siti Maria binti Haji Abdul Rahman yang turut diundang selaku tetamu kehormat bagi pertandingan itu.
Acara kemudian diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.