Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Surat palsu guna nama TPM Malaysia, pengawal keselamatan ditahan

    KUALA LUMPUR, 17 NOV – Seorang pengawal keselamatan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes surat tawaran kerja palsu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Fadillah Yusof ditahan semalam di pondok pengawal sebuah premis kerajaan di Samarahan, Sarawak.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan pada 12:45 tengah hari serta merampas dua unit telefon bimbit daripadanya.

    Beliau berkata tangkapan dibuat berikutan laporan polis oleh seorang lelaki pada 15 Oktober lepas mendakwa menerima surat tawaran kerja daripada lelaki terbabit yang mendakwa sebagai pegawai setiausaha pejabat di pejabat TPM.

    “Siasatan awal mendapati pengadu mengenali suspek pada Julai lepas dan mendakwa dia (suspek) adalah pengiring rapat kepada TPM II. Disebabkan yakin dan percaya, pengadu menyerahkan dokumen peribadi sebelum suspek menyerahkan kepadanya dua surat iaitu pelantikan sebagai pegawai setiausaha pejabat dan permohonan kuarters kerajaan.

    “Hasil semakan dengan rakan kakak pengadu mengesahkan bahawa kedua-dua surat berkenaan tidak wujud dan membuat laporan polis kerana rasa tertipu dan bimbang dokumen itu disalahgunakan dengan tujuan menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi.

    Razarudin berkata siasatan mendapati lelaki yang bekerja di sebuah premis kerajaan di Samarahan, Sarawak sejak 2018 itu telah menawarkan pelbagai jenis pekerjaan di pejabat kerajaan Persekutuan kepada beberapa orang rakan termasuk pengadu pada hujung Oktober.

    “Suspek mengaku membuat tawaran itu bagi mendapatkan perhatian rakan-rakannya yang kononnya mengenali ‘orang atasan’ yang boleh membantu mereka serta suka dilayan sebagai orang penting.

    “Dia (suspek) juga mengatakan tidak menyalahgunakan butiran peribadi (dokumen peribadi) yang diterimanya serta tiada ganjaran yang diminta daripada rakan-rakannya (kerana membantu menawarkan pekerjaan),” katanya. – Bernama

    Tan Sri Razarudin Husain (gambar) berkata siasatan mendapati lelaki tersebut telah menawarkan pelbagai jenis pekerjaan di pejabat kerajaan Persekutuan kepada beberapa orang rakan termasuk pengadu pada hujung Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda