LONDON, 27 APRIL – Sekeping surat yang ditulis oleh salah seorang mangsa terselamat Titanic yang paling terkenal dari atas kapal itu, beberapa hari sebelum ia karam, telah dijual pada harga 300,000 pound (AS$399,000) dalam satu acara lelongan.
Dalam nota yang ditulis kepada bapa saudara penjual pada 10 April 1912, iaitu seorang penumpang kelas pertama, Archibald Gracie, menulis mengenai kapal stim yang malang itu: “Ia sebuah kapal yang hebat tetapi saya akan menunggu hingga akhir perjalanan saya sebelum memberi penilaian terhadapnya.”
Menurut rumah lelong Henry Aldridge & Son di Wiltshire, England, surat itu telah dijual kepada seorang pengumpul peribadi dari AS kelmarin. Harga jualan jauh mengatasi anggaran awal sebanyak 60,000 pound.
Surat itu dipercayai satu-satunya contoh yang wujud daripada Gracie yang ditulis dari atas Titanic, yang karam berhampiran Newfoundland selepas melanggar bongkah ais dan telah mengorbankan kira-kira 1,500 orang dalam pelayaran sulungnya.
Pelelong Andrew Aldridge menyifatkannya sebagai “sebuah artifak bertaraf muzium yang luar biasa.”
Gracie, yang melompat dari kapal dan berjaya memanjat sebuah bot lipat terbalik, telah diselamatkan oleh penumpang lain di atas bot penyelamat dan dibawa ke kapal R.M.S. Carpathia. Sekembalinya ke New York, beliau menulis buku “The Truth about the Titanic,” yang mengisahkan pengalaman beliau.
Gracie menaiki Titanic di Southampton pada 10 April 1912 dan ditempatkan di kabin kelas pertama C51. Bukunya dianggap sebagai antara catatan paling terperinci tentang kejadian malam Titanic karam, kata Aldridge. Gracie tidak pernah pulih sepenuhnya daripada hipotermia yang dialaminya dan meninggal dunia akibat komplikasi diabetes pada akhir tahun 1912.
Surat itu dicop setem di Queenstown, Ireland, salah satu daripada dua hentian Titanic sebelum ia karam. – AP
