SANDAKAN, 7 April – Seorang suri rumah ditikam sebanyak 11 kali serta dikelar oleh jirannya yang menyamunnya di Kampung Sungai Kayu, Jalan Airport di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Azhar Hamin berkata mangsa berusia 53 tahun tinggal seorang diri di rumahnya dan selepas disamun dalam kejadian pukul 6:17 pagi, mangsa menghubungi adiknya yang tinggal di kampung yang sama.
Katanya suspek berusia lingkungan 40-an yang dikenali sebagai Eb yang merupakan warga Filipina. Suspek yang tinggal di kampung itu sejak 2008 bekerja dengan mengambil upah memotong rumput dan membaiki rumah.
Barang-barang yang dilaporkan hilang dari rumah mangsa adalah dua utas rantai emas, kata beliau. – Bernama