Wednesday, February 1, 2023
25.4 C
Brunei

-

Suri rumah popularkan semula agar-agar kering

KUALA LUMPUR – Pemanis mulut yang sering disebut sebagai ‘kuih orang lama’ ini menambah seri meja untuk dihidangkan kepada tetamu hanya di musim perayaan Aidilfitri atau Aidiladha.

Meskipun hanya dijamu satu atau dua kali setahun, namun agar-agar kering, menu tradisional yang unik dan berwarna-warni ini sentiasa mendapat perhatian penggemarnya tanpa mengira peringkat usia.

Di negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu, agar-agar kering ini dikenali dengan nama ‘beleda kering’ oleh masyarakat setempat.

Mungkin ada yang beranggapan kuih orang lama ini tidak lagi selari dengan peredaran zaman dengan kemunculan pelbagai jenis pemanis mulut termasuk resipi barat, walaupun hakikatnya ia masih mempunyai penggemar setia.

Kesukaran memperolehi pemanis mulut ini seolah-olah ia semakin dilupakan dan mungkin boleh lenyap begitu sahaja.

Agar-agar kering yang dihasilkan mempunyai motif bunga-bungaan pelbagai bentuk dan perisa serta kurang manis. – Bernama
Zaimah Zakaria berkata agar-agar kering atau dipanggil lengkong kering itu mempunyai potensi untuk diketengahkan semula sebagai manisan yang bukan sahaja boleh dijamu pada musim perayaan malahan turut sesuai untuk majlis tertentu. – Bernama
Agar-agar kering sering disebut sebagai ‘kuih orang lama’ dan ia menambah seri meja untuk dihidangkan kepada tetamu hanya di musim perayaan Aidilfitri atau Aidiladha. – Bernama

Olah resepi 

Untuk memastikan kuih orang lama ini tidak ditelan zaman, seorang suri rumah Zaimah Zakaria, 36, mengambil langkah berani apabila cuba menghasilkan agar-agar kering yang bagi dirinya mempunyai keunikan tersendiri.

Bagi anak jati Pulau Langkawi ini, agar-agar kering atau dipanggil lengkong kering itu mempunyai potensi untuk diketengahkan semula sebagai manisan yang bukan sahaja boleh dijamu pada musim perayaan malahan turut sesuai untuk majlis tertentu.

“Sebelum mengeluarkan produk agar-agar ini, saya mempunyai  produk sendiri iaitu acar buah dan sambal ikan masin talang.

“Namun melihat pada keunikannya (agar-agar kering) dan yakin ia boleh diketengahkan serta dipopularkan semula sebagai kuih tradisi, saya mengambil keputusan untuk cuba menghasilkan agar-agar kering ini, ” kata Zaimah yang kini menetap di Sungai Buluh, Selangor sejak tahun 2006, kepada Bernama.

Berminat dalam bidang masakan sejak remaja, Zaimah sentiasa ingin mencuba sesuatu masakan yang baharu mendorong ibu kepada empat orang cahaya mata ini untuk menjadikan agar-agar kering ini sebagai produk terbaru jualan.

“Bermula dengan sekadar ingin mencuba pada awal tahun ini (2022), saya sendiri tidak sangka menerima maklum balas positif daripada keluarga dan kenalan rapat,’’ katanya menambah, agar-agar kering yang berwarna antaranya merah, hijau, biru, kuning dan ungu ternyata menarik perhatian penggemarnya.

Menurut Zaimah, beliau mendapat resipi agar-agar kering daripada seorang kenalan yang agak manis dan meskipun diolah sedikit resipi berkenaan, agar-agar kering yang dihasilkannya masih mendapat sambutan dalam kalangan penggemar kuih tempatan.

“Bermula dengan menjualnya kepada rakan-rakan, saya kemudiannya memberanikan diri dengan mempromosikan agar-agar kering itu melalui platform dalam talian iaitu Facebook saya di bawah nama Zaimah Zakaria,” katanya.

Beliau menambah, kebanyakan pelanggan yang membeli agar-agar kering yang dihasilkannya itu bukan sekadar untuk dijadikan kudapan di waktu senggang, sebaliknya untuk acara tertentu termasuk sebagai hantaran dan cenderamata majlis pertunangan serta perkahwinan.

Modenkan proses  

Mengulas lanjut, Zaimah yang menjalankan perniagaannya di rumah berkata, agar-agar kering yang dihasilkan mempunyai motif bunga-bungaan pelbagai bentuk dan perisa serta kurang manis. Ia sedikit berbeza dengan agar-agar kering tradisional yang lebih manis serta mempunyai bentuk yang sama kerana dipotong mengikut saiz yang sama.

“Namun dari segi proses pembuatannya tiada beza kerana masih menggunakan agar-agar dan gula sebagai bahan utama. Apa yang membezakannya saya menggunakan acuan silikon yang bermotif bunga-bungaan dan selepas agar-agar mengeras di dalam acuan, agar-agar ini kemudian akan disusun di atas rak pengering makanan dan dikeringkan menggunakan pengering makanan (food dehydrator).

“Cara ini tidak bergantung kepada cahaya matahari seperti proses terdahulu yang menjemur agar-agar secara terus di bawah cahaya matahari,’’ katanya. Menurut Zaimah, dengan menggunakan teknologi pengering makanan, proses penyediaan agar-agar juga secara tidak langsung dapat disingkatkan kepada 24 jam berbanding kaedah tradisional yang memakan masa sehingga enam hari, bergantung kepada keadaan cuaca.

Di samping itu, penggunaan  pengering makanan untuk proses mengeringkan agar-agar tersebut lebih menjamin kebersihan, sekali gus melindungi makanan daripada persekitaran yang kotor dan serangga seperti semut.

“Agar-agar kering yang baik biasanya mempunyai rupa berkaca disebabkan kandungan gula yang mengeras dikelilingnya, rasa rangup di bahagian luar dan lembut di dalam,” katanya.

 Pulangan berganda

Berbekalkan modal sebanyak RM1,500 (wang simpanan sendiri) untuk memulakan langkah pertama menghasilkan agar-agar kering, Zaimah kini boleh tersenyum bangga dengan usahanya apabila mampu menjana pendapatan purata sehingga RM2,500 sebulan.

Permintaan terhadap agar-agar kering itu lebih tinggi ketika musim perayaan dan tempahan juga boleh mencecah kira-kira 10 kilogram sehari.

Sekiranya menghasilkan sebanyak 10 kilogram agar-agar kering, ia boleh dimuatkan ke dalam 20 buah balang agar-agar seberat 500 gram setiap satu. Setiap balang dijual pada harga RM25.

“Bagi saya agar-agar ini masih lagi relevan, pelanggan berminat dengan corak agar-agar kering yang saya hasilkan, selain ia memenuhi cita rasa mereka… kebanyakkan pelanggan  juga akan mengulangi tempahan mereka.

“Mengusahakan agar-agar kering ini turut membantu saya menambah pendapatan keluarga dan mengubah peranan saya daripada seorang suri rumah sepenuh masa kepada pengusaha produk makanan ringan yang menguntungkan,’’ katanya. Ditanya mengenai perancangan masa depan, Zaimah berhasrat meningkatkan pengeluaran agar-agar kering bagi memenuhi permintaan pelanggan, menyediakan peralatan memproses agar-agar yang lebih canggih serta mempunyai premis perniagaannya sendiri.

“Buat masa sekarang saya hasilkan agar-agar kering mengikut tempahan dan pelanggan perlu menunggu lama untuk saya siapkan setiap tempahan tersebut.

“Apabila ada premis dan peralatan yang lebih canggih, ia sekali gus akan memudahkan proses penghasilan agar-agar kering ini dan jumlah pengeluaran yang kini terhad sebanyak 10 kilogram sehari mungkin boleh digandakan lagi. 

“Saya juga berharap supaya boleh mengupah pekerja untuk membantu proses pembuatan dan pemasaran yang pada masa ini semuanya saya lakukan sendiri,” katanya. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korban bom masjid meningkat lebih 90

PESHAWAR, PAKISTAN, 31 JAN – Pengeboman berani mati yang berlaku di masjid dalam ibu pejabat polis daerah Peshawar dan kawasan kerajaan di barat laut...
- Advertisment -