Saturday, January 4, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suri rumah tergamam buaya muncul di parit

    KOTA BHARU, 1 JAN – Seorang suri rumah tidak menyangka rutin harian membuang sisa ikan bertukar menjadi pengalaman mendebarkan apabila seekor buaya sepanjang 1.4 meter tiba-tiba muncul di parit di hadapan rumahnya di Lorong Masjid Tal 7, Pasir Mas, pagi semalam.

    Ong Lian Hui, 56, berkata pada mulanya dia menyangka haiwan itu hanya seekor biawak besar namun jangkaannya meleset apabila melihat reptilia itu, yang menerkam sisa ikan dibuangnya, lebih dekat.

    “Saya tergamam apabila sedar ia sebenarnya buaya. Saya terus beritahu penduduk setempat dan tidak lama kemudian ramai yang datang untuk melihat sendiri haiwan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Menurut Ong, selepas kemunculan pertama buaya itu kira-kira 9 pagi semalam, haiwan tersebut menghilang tetapi muncul semula sekitar pukul 9 pagi dan 3 petang hari ini.

    “Buaya itu muncul selepas anjing peliharaan saya menyalak bertalu-talu. Saya takut buaya itu mencederakan anjing saya, jadi saya segera menghubungi bomba,” katanya.

    Seekor buaya sepanjang 1.4 meter telah dikesan di sebuah parit di Lorong Masjid Tal 7, Pasir Mas, baru-baru ini. – Bernama

    Ong berkata kejadian itu mengejutkan penduduk sekitar kerana ini adalah kali pertama buaya dilaporkan muncul di kawasan itu.

    “Saya percaya buaya ini sesat dan telah dihanyutkan air banjir baru-baru ini ke kawasan perumahan ini,” katanya.

    Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Adnan Muhammad Juri berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9:02 pagi tadi.

    “Sepasukan 10 anggota bomba dikerahkan ke lokasi tetapi setibanya kami di sana, buaya itu sudah tiada,” katanya.

    Adnan berkata pihak bomba akan memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk tindakan lanjut. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda