Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suriname lantik presiden wanita pertama

    PARAMARIBO, 7 JULAI – Ahli-ahli parlimen kelmarin telah memilih Jennifer Geerlings-Simons sebagai presiden wanita pertama Suriname, selepas partinya memenangi jumlah kerusi tertinggi dalam pilihan raya perundangan pada bulan Mei.

    Bekas ketua pembangkang yang berusia 71 tahun itu menjadi satu-satunya calon presiden selepas pesaingnya membuat keputusan pada Khamis untuk tidak mencalonkan sesiapa bagi memimpin negara kecil di pesisir utara benua Amerika Selatan itu.

    Parti National Democratic Party (NDP), pimpinan Geerlings-Simons telah memenangi 18 daripada 51 kerusi di Dewan Perundangan, melebihi jumlah yang diperoleh parti centrist VHP yang diterajui oleh presiden sebelum ini, Chan Santokhi.

    NDP telah pun mencapai persetujuan dengan lima lagi parti yang secara gabungan memegang 34 kerusi di parlimen, cukup untuk memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan bagi merebut jawatan presiden.

    Parti itu diasaskan oleh bekas ketua rampasan kuasa yang kemudian menjadi presiden melalui pilihan raya, Desi Bouterse, yang telah meninggal dunia semasa dalam persembunyian pada Disember 2024.

    Jennifer Geerlings-Simons semasa tiba di Dewan Perundangan, Paramaribo pada 6 Julai. – AFP

    Dalam ucapan kepada ahli-ahli parlimen sebelum upacara pelantikan yang dijadual pada 16 Julai, Geerlings-Simons berkata beliau telah “menerima jawatan itu.”

    “Saya amat sedar akan tanggungjawab besar yang kini terletak di atas bahu kita. Tanggungjawab ini lebih berat memandangkan saya adalah wanita pertama yang memegang jawatan itu,” kata Geerlings-Simons.

    Semasa kempen pilihan raya, Geerlings-Simons yang juga bekas Yang di-Pertua Dewan Perundangan berkata, beliau ingin “berkuasa bagi memastikan rakyat benar-benar mendapat manfaat” daripada hasil minyak negara tersebut.

    Beliau turut menyatakan hasrat untuk “menggubal undang-undang yang mewajibkan semua syarikat bekerjasama dengan rakyat Suriname dan membeli produk tempatan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda