Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan majlis resepsi sempena Hari Kemerdekaan dan Kebangsaan Bangladesh ke-51 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.
Majlis resepsi diisikan dengan acara nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Bangladesh, bacaan ayat suci Al-Quran ucapan daripada Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona serta pemotongan kek hari kebangsaan serta penyampaian cenderahati.
Dalam ucapannya itu, Puan Yang Terutama menjelaskan bahawa persahabatan antara kedua-dua buah negara itu adalah berdasarkan rasa hormat, kepercayaan dan persamaan budaya. Dalam tempoh setahun yang lalu, hubungan dua hala semakin bertambah kukuh.
PYT Nahida Rahman Shumona juga memberi penghormatan kepada Bapa Bangsa Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman serta berkongsi kisah kejayaan Bangladesh, visi dan kepimpinan luar biasa Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang telah meletakkan Bangladesh pada perkembangan berbeza trajektori, dan menonjolkan inisiatif diplomasi awam dan peranan utama Bangladesh dalam perubahan iklim.
