Thursday, December 26, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suruhanjaya Eropah luluskan vaksin COVID-19 versi terkini

    BRUSSELS, 1 SEPT – Suruhanjaya Eropah berkata suruhanjaya itu sudah meluluskan versi terkini vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh BioNTech-Pfizer, lapor agensi berita Jerman, dpa.

    Vaksin Comirnaty XBB.1.5 telah diubah buat kali ketiga untuk bertindak balas terhadap varian baharu COVID-19 dan dibenarkan untuk kegunaan orang dewasa, kanak-kanak dan anak damit berusia enam bulan ke atas, kata suruhanjaya itu dalam kenyataan akhbar hari ini.

    “Saya mengalu-alukan kelulusan tepat pada masanya itu yang akan menyasarkan varian baharu muncul dan mudah merebak,” kata Pesuruhjaya Kesihatan EU, Stella Kyriakides.

    Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) berkata dalam kemas kini terbaharunya bahawa kes COVID-19 di EU semakin meningkat, tetapi kadar jangkitan kekal pada tahap yang rendah.

    “COVID-19 akan beredar seiring dengan influenza bermusim semasa musim luruh dan musim sejuk yang akan datang dan kita perlu bersedia,” kata Kyriakides.

    Suruhanjaya itu berkata kelulusan berkenaan membolehkan negara EU membuat persediaan yang lebih baik bagi kempen vaksinasi yang akan datang.

    BioNTech yang berpangkalan di Jerman mendapat perhatian kerana membangunkan vaksin melawan COVID-19 berdasarkan teknologi mRNA. 

    Sepanjang 2021, BioNTech dan rakan kongsi Pfizer membekalkan lebih 2.6 bilion dos vaksin dan angka itu menurun kepada sekitar dua bilion tahun lepas. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda