YANGON, 4 Jan – Suruhanjaya yang menyiasat keganasan di negeri Rakine, Myanmar hari ini menafikan pasukan keselamatan telah menganiaya Rohingya, beberapa hari selepas satu video muncul yang memperlihatkan polis memukul orang awam dari minoriti Islam itu.
Berpuluh-puluh ribu Rohingya – kumpulan yang tidak diterima oleh kebanyakan dalam kalangan majoriti penduduk Myanmar yang beragama Buddha – telah melarikan diri dari operasi ketenteraan di negeri barat laut, yang dilancarkan selepas serangan maut ke atas pos kawalan polis pada Oktober lalu.
Berbelas-belas orang telah terbunuh dalam tindakan itu, yang mana mereka yang dapat melarikan diri kini berada di negara jiran, Bangladesh telah bercerita tentang perogolan, pembakaran, pembunuhan dan penyeksaan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan.
Kerajaan Myanmar, diketuai oleh penerima anugerah Nobel, Aung San Suu Kyi berkata dakwaan itu dibuat-buat dan menolak tekanan meningkat dari antarabangsa supaya bertindak melindungi kaum minoriti itu.
Hari ini, suruhanjaya itu yang ditubuhkan untuk menyiasat keganasan itu mengeluarkan laporan awalnya yang menolak dakwaan pasukan keselamatan telah melakukan penganiayaan atau telah melaksanakan kempen untuk mengusir orang Rohingya.
Saiz penduduk ‘Bengali’, masjid-masjid, dan bangunan-bangunan keagamaan di kawasan yang dilanda kekacauan itu ‘adalah bukti bahawa tidak ada kes genosid dan penindasan agama,” menurutnya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam media kerajaan. – AFP