Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suruhanjaya Tinggi Bangladesh hargai sumbangan migran

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di sini, petang tadi, telah mengadakan Majlis Hari Migran Antarabangsa 2023 untuk meraikan sumbangan berjuta-juta migran seluruh dunia.

    Hadir semasa majlis berkenaan yang berlangsung di premis suruhanjaya berkenaan di Kampung Tanah Jambu ialah Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona.

    Juga hadir ialah wakil-wakil kedutaan Indonesia, Filipina dan Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam, para pekerja warganegara Bangladesh di negara ini serta wakil dari 10 buah syarikat yang menerima Anugerah Best Employee termasuk Syarikat Adinin Works & Engineering Sdn Bhd, Tendrill International Sdn Bhd, dan Mashhor General Contractor Sdn
    Bhd.

    PYT Nahida Rahman Shumona dalam ucapan alu-aluannya mentakrifkan Hari Migran Antarabangsa bukan sahaja untuk meraikan sumbangan pekerja migran kepada negara tetapi juga bagi mengiktiraf cabaran yang mereka hadapi, daya tahan mereka dan perjalanan luar biasa ke arah kehidupan yang lebih baik di negara asing.

    Walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk penyesuaian budaya, halangan bahasa, kesusahan ekonomi, persekitaran yang tidak dikenali, keazaman pekerja asing sememangnya memberikan inspirasi, tambahnya.

    Sambil mendoakan pekerja Bangladesh yang meninggal dunia akibat penyakit yang boleh dicegah, kecederaan dan dalam keadaan yang mencurigakan, beliau meminta semua orang untuk menegaskan komitmen mereka bagi menegakkan hak migran tanpa mengira asal usul atau status mereka.

    Menurut Puan Yang Terutama, di Brunei terdapat lebih 25,000 orang pekerja warga Bangladesh yang bekerja bermula sebagai buruh dan lain-lain bidang.

    Beliau juga menekan kesejah-teraan warganegara Bangladesh perlu diambil perhatian terutama sekali kesihatan mental dan lain-lain. Ini adalah penting bagi mengelakkan daripada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil Anugerah Best Employee kepada 10 buah syarikat yang disempurnakan oleh PYT Nahida Rahman Shumona.

    PYT Nahida Rahman Shumona menyampaikan sijil Anugerah Best Employee kepada wakil salah sebuah syarikat.
    – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMMAD
    PYT Nahida Rahman Shumona bersama wakil daripada 10 buah syarikat yang menerima Anugerah Best Employee pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMMAD
    Antara yang hadir pada majlis sambutan berkenaan. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMMAD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda