Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Suruhanjaya Tinggi India hari ini memperingati Hari Kemerdekaan India yang ke-78 dengan upacara menaikkan bendera kebangsaan India bertempat di perkarangan India House, Jalan Kota Batu.
Upacara menaikkan bendera dimulakan dengan pengibaran bendera kebangsaan India yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Alok A. Dimri, Pesuruhjaya Tinggi diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan India Jana Gana Mana.

Majlis berkenaan dihadiri oleh ahli komuniti India, para pelajar sekolah, warganegara India dan ahli perniagaan bagi sama-sama memeriahkan hari bersejarah India.
Pesuruhjaya Tinggi turut membacakan petikan daripada ucapan presiden yang menekankan kemajuan yang dicapai India sejak kemerdekaannya dan hubungan erat yang terjalin dengan Brunei Darussalam. Beliau juga turut memberi penghormatan kepada pengorbanan pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan untuk kemerdekaan negara berkenaan.


Sempena Hari Kemerdekaan India, kempen ‘Har Ghar Tiranga’ juga diadakan bermula dari 9 hingga 15 Ogos yang disertai oleh ahli komuniti India bagi menunjukkan semangat kebangsaan mereka.
Upacara Hari Kemerdekaan ke-78 di Rumah India adalah satu upacara tahunan yang bertujuan untuk mengukuhkan semangat perpaduan dan patriotisme.


