Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus meriah diraikan dengan majlis-majlis rumah terbuka yang dikendalikan oleh pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini, hari ini.
Para jemputan yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Suruhanjaya Tinggi Malaysia di suruhanjaya berkenaan telah dialu-alukan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Raja Dato’ Reza bin Raja Zaib Shah dan isteri, Datin Roslina binti Ismail serta pegawai dan kakitangan suruhanjaya berkenaan.
Semasa majlis berkenaan, para jemputan berpeluang untuk menikmati pelbagai hidangan juadah makanan, minuman dan pencuci mulut sambil berpeluang untuk beramah mesra serta mengeratkan hubungan persahabatan dalam suasana perayaan yang penuh mesra.
Majlis rumah terbuka itu merupakan acara anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia bersempena sambutan Aidilfitri yang penuh keberkatan dan merupakan suatu wadah demi mengeratkan hubungan persahabatan antara warga Malaysia yang bekerja dan menetap di Negara Brunei Darussalam.