Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-64, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei Darussalam hari ini, telah mengadakan majlis menaikkan bendera kebangsaan di premisnya di sini.
Majlis berkenaan disiarkan secara maya bagi mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi membendung penularan wabak COVID-19 dan hanya dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza Raja Zaib Shah selain beberapa orang pegawai serta kakitangan suruhanjaya tinggi berkenaan.
Pada majlis itu, Tuan Yang Terutama turut menyampaikan ucapan yang antara lain menyatakan bahawa berbanding sambutan tahun-tahun sebelumnya, 2021 merupakan tahun yang amat mencabar kepada warga Malaysia yang berada di Negara Brunei Darussalam.
Gelombang kedua COVID-19 dengan varian Delta yang baru sahaja melanda negara ini telah mengubah pelbagai perspektif kehidupan sama ada cara bersosial, corak ekonomi, hubungan politik dan lain-lain.
Bertepatan dengan tema hari kebangsaan ke-64 iaitu ‘Malaysia Prihatin’, dalam era pandemik ini beliau menyeru semua warga Malaysia untuk kembali menghayati nilai-nilai asas kemasyarakatan seperti bersatu padu, bertanggung jawab, mengambil berat dan pemedulian dengan bertanya khabar kepada ahli keluarga Malaysia tidak kira di mana mereka berada, di bandar atau di kampung.

“Bertanyalah sekiranya mereka memerlukan bantuan terutamanya apabila ada ahli keluarga yang disahkan positif COVID-19 dan dibawa ke pusat pengasingan dan telah meninggalkan ahli keluarga yang lain di rumah tanpa bekalan makanan yang mencukupi.
“Tidak lupa juga bagi mereka yang perlu menjalani kuarantin di rumah atau yang mungkin hilang punca pendapatan akibat pandemik ini. Mungkin rasa prihatin anda yang sedikit ini memberikan makna yang cukup besar kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” tambah beliau.
Menurutnya lagi, Suruhanjaya Tinggi Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat dan perkongsian perkembangan rakyat Malaysia yang menghadapi kesukaran agar sedikit sebanyak yang me-reka mampu dapat dipermudahkan atau maklumat tersebut dapat dikongsikan kepada individu terdekat yang boleh menghulurkan pertolongan segera.
Dalam pada itu, Tuan Yang Terutama turut menyeru semua warga Malaysia di negara ini untuk bersama-sama menyokong aspirasi kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam usaha yang berterusan bagi Program Vaksinasi Kebangsaan.
“Alhamdulillah sebagaimana di Malaysia, inisiatif ini tidak hanya tertumpu kepada warganegara tempatan namun ia juga dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia di negara ini.
“Bagi yang belum mendaftar, anda boleh berbuat demikian melalui aplikasi BruHealth dan semoga usaha kita ini dapat membantu mengekang penularan wabak COVID-19 dalam komuniti dan seterusnya membantu Negara Brunei Darussalam mencapai imuniti berkelompok tidak lama lagi,” tambah beliau.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan upacara menaikkan bendera kebangsaan Malaysia diikuti dengan lagu kebangsaan yang disempurnakan oleh TYT Dato’ Raja Reza.