Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suruhanjaya Tinggi Malaysia sumbang makanan tengah hari

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) di Brunei Darussalam, kelmarin, telah menyumbangkan sebanyak 300 bungkus makanan tengah hari kepada para petugas barisan hadapan di Pusat Pengasingan Kebangsaan, Tutong.

    Hadir bagi menyerahkan sumbangan tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza Raja Zaib Shah. Turut hadir semasa majlis penyerahan tersebut ialah tiga orang alumni MTCP.

    Sementara itu, sumbangan diterima oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong, Awang Abdul Muiz bin Haji Ibrahim.

    Sumbangan berkenaan merupakan inisiatif kedua yang dianjurkan di mana beberapa minggu sebelumnya, bantuan makanan telah diberikan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

    TYT Dato’ Raja Reza berkata bahawa pihak mereka akan terus untuk menyumbang bantuan kepada para petugas barisan hadapan di Negara Brunei Darussalam.

    “Ini adalah sebagai tanda penghargaan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia atas sumbangan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus untuk menjaga pesakit-pesakit COVID-19 di Negara Brunei Darussalam ini.

    “Kami sedar bahawa petugas barisan hadapan setiap hari terpaksa bertugas ada yang sehingga 24 jam dalam keadaan berpakaian PPE yang agak panas dan tidak selesa, tetapi mereka tetap tabah, sabar dalam mengharungi tugas mereka,” jelas Tuan Yang Terutama semasa penyerahan sumbangan itu.

    Inisiatif yang dikelolakan bersama alumni MTCP itu juga merupakan sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka. Program MTCP adalah usaha kerajaan Malaysia untuk memberi latihan kepada pegawai-pegawai kerajaan dari negara-negara membangun.

    TYT Dato’ Raja Reza semasa menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda