Sunday, December 22, 2024
21.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Suruhlah anak-anak kamu mendirikan sembahyang…..’

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Kedua

    Terdapat beberapa pendapat para sahabat dan ulama mengenai pesanan supaya memelihara diri dan ahli keluarga daripada neraka sebagaimana maksud ayat di atas, iaitu: (i) Memerintahkan ahli keluarga untuk taat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan melarang mereka menderhakaiNya; (ii) Mengajar ahli keluarga tentang kewajipan-kewajipan yang tertanggung ke atas mereka dan mendidik mereka tentang kehidupan keduniaan mereka; (iii) Mengajar ahli keluarga tentang kebaikan dan memerintahkan untuk melaksanakan kebaikan itu, di samping menerangkan kepada mereka tentang keburukan dan melarang mereka dari melakukannya.

    Termasuk juga dalam maksud ayat di atas ialah anak-anak. Oleh yang demikian, pimpinan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada ibu bapa untuk memerintahkan anak-anak mereka mengerjakan sembahyang turut termasuk dalam konteks ayat di atas.

    Diriwayatkan daripada ‘Amr bin Syu‘aib Radhiallahu ‘anhu daripada bapanya daripada datuknya, beliau berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Suruhlah anak-anak kamu itu (anak-anak laki-laki atau perempuan) mendirikan sembahyang apabila umur mereka tujuh tahun.” (Hadits riwayat Abu Daud)

    Gambar Envato Elements

    Hadits di atas menunjukkan bahawa wajib ke atas ibu bapa menyuruh kanak-kanak yang sudah berumur tujuh tahun qamariyyah mengerjakan sembahyang dengan cukup syarat-syarat dan rukun-rukun sembahyang.

    Namun jika kanak-kanak itu tiada mempunyai ibu atau bapa, maka datuknya mengambil tempat bapa dan ibunya. Jika tiada datuknya, maka diambil tanggungjawab ini oleh orang yang dipesankan oleh bapa atau datuknya. Jika tidak ada, maka berpindah kepada penjaga kanak-kanak itu. Jika tidak ada, maka berpindah pula kepada wali-wali yang lebih hampir kepada kanak-kanak itu. Jika tidak ada, maka berpindah kepada pemerintah dan kemudiannya kepada orang-orang Islam yang shalih di tempat kanak-kanak itu berada.

    Inilah dia susunan orang-orang yang wajib menyuruh kanak-kanak laki-laki dan perempuan itu mengerjakan sembahyang dengan cukup syarat dan rukunnya.

    Adapun kewajipan mendidik kanak-kanak ini tidak terhad pada sembahyang sahaja, bahkan pada semua perkara berkaitan agama. Menurut Imam Syafi‘i Rahimahullah, adalah menjadi kewajipan bagi kedua ibu bapa untuk mengajar anak-anak mereka yang masih kecil tentang perkara-perkara yang akan diwajibkan setelah mereka mencapai umur baligh, antaranya mengajarkan thaharah (bersuci), sembahyang, puasa dan yang seumpamanya.

    Umur sesuai mendidik anak-anak bersembahyang menurut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Suruhlah anak-anak kamu itu (anak-anak laki-laki atau perempuan) mendirikan sembahyang apabila umur mereka tujuh tahun, dan pukullah mereka (jika mereka enggan mendirikan sembahyang) apabila umur mereka sepuluh tahun, dan kamu pisahkanlah mereka dari tempat-tempat tidur mereka.” (Hadits riwayat Abu Daud)

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan ibu bapa untuk mula menyuruh anak-anak mendirikan sembahyang dengan cukup syarat dan rukun pada umur tujuh tahun qamariyyah setelah si anak mempelajarinya. Manakala bila sampai umur sepuluh tahun dan si anak enggan atau belum melakukan sembahyang, maka bolehlah dipukul.

    Menurut Imam al-‘Alqami Rahimahullah: Suruhan memukul ketika umur sepuluh tahun disebabkan kebiasaannya umur sepuluh tahun merupakan had umur yang boleh menanggung pukulan (pukulan ringan). Pukulan yang dimaksudkan di dalam hadis di atas pula adalah pukulan yang tidak mencederakan iaitu pukulan ringan yang bertujuan untuk mengajar dan mendidik.

    Adapun rahsia syariat Islam menyuruh mendidik anak agar sembahyang pada peringkat seawal umur tujuh tahun ini adalah supaya dapat mengajarkan mereka tentang hukum-hakam ibadat, membiasakan mereka mengerjakan sembahyang sedari kecil sehingga mereka terdidik untuk mematuhi dan melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Yang sedemikian, jiwa dan hati mereka akan bersih, akhlak mereka akan terdidik serta pergaulan dan perbuatan mereka akan sentiasa terpelihara daripada perkara-perkara mungkar. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (manfaat dan kesannya).” (Surah al-Ankabut: 45)

    Oleh yang demikian, didiklah anak-anak kita bersembahyang sedari umur mereka masih kecil. Manakala bila sampai umur yang sesuai sebagaimana yang disebutkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka perintahkan mereka mendirikan sembahyang secara disiplin.

    Pimpinlah mereka dengan penuh kesabaran dan kasih sayang serta berusaha terus dan tegas menyuruh mereka bersembahyang sehingga mereka baligh.

    Binalah suasana kondusif yang boleh membawa anak-anak malahan seisi keluarga mendirikan sembahyang secara teratur seperti sembahyang berjemaah bersama-sama, penyediaan bilik sembahyang yang teratur dan seumpamanya.

    Berdoalah tanpa putus-putus agar anak-anak sentiasa mendirikan sembahyang, antaranya dengan doa khusus yang dibaca oleh Nabi Ibrahim ‘alaihissalam bagi anak-anak dan keturunannya agar sentiasa mendirikan sembahyang:

    “Ya Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang tetap mendirikan sembahyang dan (demikian juga) zuriat keturunanku. Ya Tuhan kami! Perkenankan doaku.” (Surah Ibrahim: 40)

    Paling utama sebagai pemimpin keluarga adalah dengan menjadi contoh terbaik buat anak-anak. Melakukan sembahyang secara teratur dan mendirikannya pula di awal waktu serta menjadi imam ketika berjemaah adalah antara usaha yang boleh mendorong anak-anak untuk turut sama melakukan sembahyang. Contohilah Nabi Besar junjungan kita, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam memimpin dan mendidik keluarga dan umat Baginda. Baginda bukan sahaja contoh seorang pemimpin yang tegas, tapi juga contoh seorang pendidik dan pembimbing yang kaya dengan kasih sayang, yang mana dengannya dapat memandu keluarga dan umat Baginda kepada jalan kejayaan dunia dan akhirat.

    Antaranya dalam perkara mendirikan sembahyang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda