Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Susherrie lakar sejarah orang asli pertama cemerlang di UCL

    IPOH – Susherrie Suki, yang melakar sejarah menjadi Orang Asli pertama menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dari University College London (UCL), United Kingdom baru-baru ini, memasang cita-cita untuk bergelar perancang bandar berlesen di negeri kelahirannya, Perak.

    Gambar gadis daripada kaum Semai berusia 23 tahun itu bersama ahli keluarga dan rakannya di hadapan universiti, tular dalam media sosial kerana mengangkat nama komunitinya setelah menamatkan pengajian dalam bidang Perancangan Bandar dan Hartanah di Bartlett School of Planning, UCL.

    UCL ialah universiti terkemuka di dunia yang berada di tangga kelapan dunia (QS World University Ranking 2023).

    Kini, beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Reka Bentuk dan Perancangan Bandar di universiti sama selama setahun dalam menggapai impian bagi merealisasikan cita-citanya itu.

    “Selepas menghabiskan pengajian hingga tingkatan lima di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ave Maria Convent, saya menyambung pengajian peringkat A-Level di Kolej MARA Seremban dan seterusnya mendapat tawaran di UCL bagi peringkat Sarjana Muda selama tiga tahun.

    Susherrie berterima kasih atas sokongan keluarganya yang banyak membantunya mencapai kejayaan. – Gambar dari Linkedn Susherrie
    Susherrie melakarkan sejarah sebagai orang Asli pertama lulus dari universiti berprestij luar negara. – Gambar dari Linkedn Susherrie

    “Ketika saya menerima berita tentang penganugerahan Ijazah Kelas Pertama di UCL, saya melompat kerana terlampau gembira dan terus menelefon kakak untuk memberitahu tentang berita ini kerana bagi saya, perkara ini bukan mudah untuk dicapai,” katanya ketika dihubungi Bernama melalui panggilan video dari United Kingdom, di sini baru-baru ini.

    Anak ketiga daripada empat beradik itu memaklumkan bahawa beliau memilih jurusan Reka Bentuk dan Perancangan Bandar kerana kecintaannya terhadap seni bina bangunan dan bandar.

    Menyentuh mengenai cabaran dialami sewaktu pengajian, Susherrie berkata aspek komunikasi mendorongnya untuk lebih bersungguh-sungguh dan bekerja keras demi menggenggam kejayaan yang tidak mudah diperoleh khasnya di bumi asing yang penuh dengan pelajar dari seluruh dunia.

    “Saya mempunyai kesukaran menulis esei untuk subjek penulisan ilmiah ketika itu sehinggakan saya mendapat markah 40 hingga 50.

    “Namun saya menyertai kelas bahasa Inggeris selain menjadi ahli persatuan kelas, dan bekerja sambilan di kafe pelajar bagi meningkatkan pemahaman dari segi pertuturan di sini (UCL). Bayangkan, lawak mereka pun saya tidak faham sehinggakan perlu menghentikan perbualan dan meminta penjelasan,” katanya berseloroh.

    Sementara itu, kakaknya Susieleen Suki, 31, berkata adiknya seorang ulat buku sejak kecil kerana sentiasa memegang buku ke mana sahaja beliau berada selain seorang yang aktif.

    “Kami sekeluarga tidak terkejut apabila dia memberitahu bahawa dia dianugerahkan Ijazah Kelas Pertama kerana dia memang layak. Kami amat gembira dan bangga dengan pencapaiannya kerana sejak kecil dia sentiasa menunjukkan prestasi yang baik di sekolah dan ketika di Kolej MARA,” katanya yang sering membuat panggilan video hampir setiap minggu untuk memberi sokongan kepada adiknya.

    Berita gembira itu turut mendapat perhatian Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengucapkan tahniah atas kejayaan Susherrie di laman Twitter masing-masing. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...