Monday, January 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suspek bunuh bekas ahli pembangkang Kemboja kerana ‘rasa terhutang budi’

    BANGKOK, 12 JAN – Seorang lelaki Thailand yang didakwa membunuh bekas ahli parlimen pembangkang Kemboja di Bangkok mendakwa dia melakukan jenayah itu sebagai cara untuk membalas budi kepada seseorang yang pernah membantunya ketika menghadapi masa sukar dalam hidupnya, kata polis kepada AFP hari ini.

    Ekkalak Paenoi mengaku melakukan jenayah tersebut kelmarin dalam satu video siaran langsung selepas didakwa atas pembunuhan terancang dan memiliki senjata api tanpa kebenaran.

    Lim Kimya, bekas ahli parlimen Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) yang telah dibubarkan, ditembak mati pada Selasa oleh seorang penunggang motosikal ketika beliau tiba di Bangkok dengan menaiki bas dari Kemboja bersama isterinya.

    Ahli-ahli pembangkang Kemboja telah menuduh bekas pemimpin negara itu, Hun Sen, mengarahkan pembunuhan tersebut, walaupun jurucakap kerajaan menafikan sebarang penglibatan rasmi.

    Menurut media Thailand, Ekkalak merupakan bekas anggota tentera laut dan ditahan di Kemboja pada Rabu sebelum dihantar pulang ke Thailand kelmarin.

    Ekalak Paenoi (tengah) suspek pembunuhan Lim Kimya, diiringi oleh pegawai polis di lapangan terbang Bangkok pada 11 Januari. – AFP

    “Suspek berkata dia melakukan pekerjaan ini untuk membayar hutang budi kepada seseorang yang telah membantunya selepas dia dipecat daripada tentera laut,” kata pegawai kanan polis di Bangkok, Attaporn Wongsiripreeda.

    Beberapa laporan media Thailand mendakwa dia dibayar 60,000 baht (sekitar AS$1,700), namun Attaporn memberitahu penyiar tempatan bahawa Ekkalak mendakwa dia tidak menerima sebarang bayaran.

    Attaporn enggan mengulas lanjut ketika ditanya oleh AFP.

    Seorang lagi pegawai kanan polis kelmarin memberitahu bahawa waran tangkap juga telah dikeluarkan terhadap seorang rakan kongsi dari Kemboja.

    Pada sesi pendengaran di mahkamah esok, polis akan memohon untuk menahan Ekkalak, yang bekerja sebagai pemandu teksi motosikal, sementara menunggu perbicaraan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda