BEIJING, 11 NOV – Polis di selatan China berjaya menahan seorang suspek kes bunuh yang kini menjadi jutawan, selepas 29 tahun dalam buruan pihak berkuasa.
Suspek, Xiong, dikehendaki kerana menikam hingga mati seorang lelaki semasa pergaduhan pada 1993, lapor Beijing Youth Daily.
Polis dari bandar Xiangyang di wilayah Hubei tengah China mengadakan perjalanan lebih 1,200 kilometer ke bandar Huizhou di wilayah Guangdong untuk menahan suspek.
Polis menyamar sebagai pekerja pandemik COVID-19 bagi menahan suspek yang tinggal bersama ibunya yang sudah tua. Kawasan itu berada dalam zon wabak COVID-19 dan juga pusat gempa bumi di ibu kota wilayah tersebut.
Selepas hampir tiga dekad dalam buruan, Xiong berubah daripada seorang pekerja biasa kepada jutawan yang tinggal di sebuah pangsapuri mewah, tetapi pihak berkuasa tidak mendedahkan bagaimana dia mengumpul kekayaannya.
“Sekarang kamu tahu mengapa kami datang mencari kamu, sudah tiba masanya kamu ‘membayar hutang’,” kata seorang pegawai polis kepada Xiong di luar pangsapuri miliknya. – AFP