WASHINGTON, 17 SEPT – Pihak berkuasa kelmarin mendakwa seorang suspek berusia 58 tahun yang disyaki merancang membunuh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan dua pertuduhan berkaitan senjata api di Florida, lapor United Press International (UPI).
Ryan Wesley Routh membuat penampilan pertamanya di Mahkamah Daerah AS di hadapan Majistret Ryon McCabe, dan dia didakwa atas pertuduhan memiliki senjata api oleh individu yang dilarang dan pertuduhan memiliki senjata api dengan nombor siri yang dipadam.
Routh yang diwakili oleh peguam dijadual hadir semula untuk perbicaraan pada 23 September.
Lelaki itu ditangkap oleh Perkhidmatan Rahsia AS pada Ahad selepas ejen-ejen melepaskan tembakan terhadap seorang suspek di padang golf Trump di Pantai West Palm, Florida.
Ketika kejadian, calon presiden Parti Republikan itu sedang bermain golf.
Seorang ejen mengesan selaras senapang dengan skop (alat pembidik) dalam semak sebelum melepaskan tembakan. Pihak berkuasa menemukan senapang, dua beg galas dan sebuah kamera GoPro di lokasi kejadian.
Routh ditahan oleh Pejabat Syerif Daerah Martin selepas kenderaannya dikesan kira-kira 50 batu dari tempat kejadian. – Bernama