Oleh Rafidah Jumat & Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Dua lelaki yang mengaku bersalah melakukan curi, dijatuhi hukuman dua bulan penjara setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Hukuman terhadap Mohammad Amalizwan bin Amat, 28, dan Norazizulsyaah Bani bin Abdul Aziz, 21, diputuskan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman.
Kedua-dua tertuduh didakwa mencuri besi penutup longkang dan tiga besi penutup kabel dari Tangki Air Bukit Ambog pada 29 Disember 2018 kira-kira jam 6:30 pagi.
Mereka bagaimanapun berjaya ditahan polis ketika cuba keluar dari persimpangan Jalan Bukit Ambog.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Hajah ‘Adzimah Mukarramah binti Haji Salleh.


Dua suspek tersebut diberkas selepas menerima laporan daripada orang awam mengenai sebuah kereta yang mencurigakan.
Anggota Balai Polis Tutong bergegas ke tempat kejadian dan memantau kereta tersebut. Sejurus selepas itu, dua suspek kelihatan keluar daripada kawasan hutan dengan membawa beg. Pihak polis terus memberkas dan menahan sekali gus memeriksa beg tersebut dan mendapati besi-besi yang telah dicuri dari kawasan berkenaan.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) menyambut baik atas kerjasama orang ramai dan menyeru agar sentiasa secara berterusan memberi bantuan dalam menyalurkan apa jua maklumat mengenai kegiatan jenayah di negara ini kepada PDB sama ada berhubung terus ke balai-balai berdekatan atau menghubungi talian kecemasan polis 993.