Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suspek curi ditahan

    Oleh Rafidah Jumat & Hajah Saemah Kepli

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Dua lelaki yang didakwa melakukan jenayah curi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.

    Muhammad Amirul Amir bin Mohammad Azhar, 20 dan Mohd Noor bin Mohd Yassin, 28, didakwa mencuri telefon bimbit Samsung J2 dari sebuah kereta yang diletakkan di kawasan Pandan 4, Kuala Belait pada 4 Januari 2018 kira-kira jam 11:40 pagi.

    Perbuatan mereka dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) dan menjadi tular di media sosial.

    Tidak ada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, yang mana Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memerintahkan mereka untuk ditahan reman sehingga sebutan semula pada 9 Januari.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali.

    Imej dari rakaman CCTV yang menjadi tular dalam media sosial menunjukkan seorang lelaki mencuri melalui tingkap sebuah kenderaan di kawasan Pandan 4, Kuala Belait pada 4 Januari 2018.

    Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei pula telah melaporkan bahawa Balai Polis Kuala Belait telah berjaya mengesan dan menahan dua orang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes curi di kawasan premis perniagaan Pandan 4 pada 4 Januari lalu.

    Salah seorang daripadanya adalah remaja lelaki warga tempatan yang dipercayai merupakan dalang utama kes tersebut.

    Menurut laporan polis, rakaman CCTV yang diperolehi daripada premis perniagaan berhampiran telah mengesan kelibat seorang lelaki mengambil sesuatu di dalam sebuah kereta yang tidak ditutup cermin tingkapnya.

    Dalam pada itu bahan bukti juga telah berjaya ditemui semula bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda