MELAKA, 6 MEI – Polis Malaysia berjaya menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam jenayah curi kabel selepas mengejar suspek kira-kira 100 kilometer dari Taman Teknologi Cheng di Melaka hingga ke Kilometer 216.8 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur dalam kejadian awal pagi tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata suspek berusia 29 tahun yang memandu kereta Toyota Hilux itu dikesan sedang berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan oleh unit kereta peronda polis yang sedang bertugas, sebelum menghampiri kenderaan itu untuk pemeriksaan pada 4:30 pagi tadi.
“Suspek yang menyedari kenderaannya dihampiri MPV polis bertindak melarikan diri dengan memecut kereta berkenaan menghala ke Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka-Jasin) melalui beberapa jalan utama seperti Krubong, Paya Rumput dan Ayer Keroh sebelum melanggar palang Plaza Tol Ayer Keroh untuk masuk ke lebuh raya dan menghala ke Johor Bahru.
“Bagaimanapun, suspek bertindak menukar arah pemanduan dengan memandu melawan arus ke arah Kuala Lumpur sebelum merempuh tiga kereta dan sebuah lori di lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.
Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan suspek berjaya ditahan dalam Op Tutup di lebuh raya berkenaan selepas satu jam usaha mengejar kenderaan terbabit melibatkan tiga unit MPV polis.
“Semakan mendapati suspek yang berasal dari Telok Intan, Perak itu mempunyai 20 rekod lampau membabitkan 14 kesalahan jenayah dan enam kesalahan dadah.
“Toyota Hilux yang dipandu suspek juga didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk mengelak dikesan polis,” katanya. – Bernama
