Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suspek dalam insiden tembakan di sekolah Dallas ditahan

    DALLAS, 16 APRIL – Seorang suspek telah ditahan polis kerana terlibat dalam insiden tembakan di sebuah sekolah menengah di Dallas, mencederakan empat pelajar dan mencetuskan kebimbangan pihak polis, menurut pegawai daerah sekolah itu kelmarin.

    Menurut Jabatan Penyelamat Kebakaran Dallas, tiga pelajar cedera akibat tembakan manakala seorang lagi mengalami kecederaan di bahagian bawah badan. Unit penyelamat dihantar ke Sekolah Menengah Wilmer-Hutchins sejurus selepas jam 1 petang, dan kesemua mangsa, yang kesemuanya lelaki, telah dibawa ke hospital dengan kecederaan dari serius hingga tidak mengancam nyawa.

    Daerah sekolah dalam satu kenyataan malam kelmarin berkata seorang suspek telah ditahan beberapa jam selepas insiden itu, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai individu tersebut atau sama ada dia telah ditangkap secara rasmi.

    Ketua Penolong Polis Daerah Sekolah Bebas Dallas, Christina Smith berkata dalam sidang media awal bahawa siasatan masih berjalan dan beliau tidak mempunyai maklumat mengenai punca kejadian tembakan tersebut.

    Tiga mangsa tembakan berumur antara 15 hingga 18 tahun, manakala umur mangsa yang mengalami ‘kecederaan muskuloskeletal’ tidak diketahui, menurut pihak penyelamat Dallas.

    Pegawai daerah sekolah dan polis tidak memberikan maklumat semasa sidang media beberapa jam selepas kejadian, yang menyaksikan kehadiran ramai anggota polis dan penguat kuasa undang-undang di kawasan sekolah yang menempatkan kira-kira 1,000 pelajar.

    Pihak berkuasa berkata semua pelajar dan ibu bapa berjaya disatukan semula dengan selamat selepas pelajar dipindahkan dari kawasan sekolah lebih awal pada hari itu.

    Rakaman siaran dari televisyen menunjukkan banyak kenderaan polis memenuhi kawasan sekolah pada petang kelamarin.

    Superintenden Stephanie Elizalde berkata sekolah akan ditutup sepanjang minggu ini dan kaunselor akan disediakan untuk para pelajar. – AP

    Stephanie Elizalde semasa sidang media selepas insiden tembakan di Sekolah Menengah Wilmer-Hutchins, pada 15 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda