Thursday, November 28, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suspek disyaki bunuh wanita di sebuah taman ditangkap

    HONG KONG, 30 OKT – Seorang lelaki asing yang tinggal di Hong Kong telah ditangkap atas syak membunuh seorang wanita Asia Tenggara di sebuah air terjun dalam sebuah taman di wilayah China tersebut.

    Wanita itu, yang berusia kira-kira 25 tahun, merupakan seorang pekerja domestik di Hong Kong tetapi tidak bekerja untuk suspek, kata Superintenden Polis, Sin Kwok-ming kepada pemberita semalam.

    Wanita tersebut pergi ke air terjun dalam sebuah taman di Pok Fu Lam di Pulau Hong Kong pada malam Ahad bersama suspek, tetapi suspek beredar sendirian dengan teksi selepas berada di sana selama kira-kira setengah jam, kata pihak polis.

    Pada pagi Isnin, penduduk melihat mayat wanita tersebut terapung di kolam di bawah air terjun itu, kata Sin.

    Hasil bedah siasat awal menunjukkan wanita tersebut lemas selepas dipukul di kepala dengan objek keras yang tidak dinyatakan. Sin berkata wanita itu mengalami kecederaan di kepala dan anggota badannya.

    Suspek dan isterinya, seorang warga Hong Kong, telah pergi ke tanah besar China sebelum pegawai menahan mereka ketika mereka kembali ke bandar tersebut kelmarin, kata Sin. Lelaki itu ditahan kerana disyaki membunuh, dan isterinya ditahan kerana disyaki membantu pelaku jenayah.

    Lelaki tersebut mempunyai kad pengenalan Hong Kong, namun polis tidak menyatakan negara asalnya atau asal mangsa.

    “Kami menemui banyak perkara yang tidak munasabah berkaitan dengan lelaki yang ditahan itu.

    Dia tidak melaporkan kepada polis dan segera meninggalkan Hong Kong selepas kejadian. Beberapa bukti berkaitan dengannya juga telah hilang,” kata Sin. – AP

    Seorang individu diiringi oleh pegawai polis ke sebuah taman di tempat kejadian jenayah di mana mayat seorang wanita ditemui di sebuah air terjun dalam taman tersebut di Hong Kong, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda