LONDON, 3 Jun – Seorang lelaki keempat ditahan polis kelmarin berhubung siri serangan pembakaran yang menyasarkan hartanah milik Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menurut Polis Metropolitan London.
Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Stansted di timur laut London atas syak wasangka berkonspirasi melakukan pembakaran dengan niat membahayakan nyawa.
Unit Perintah Anti-Keganasan Met sedang mengetuai siasatan terhadap tiga insiden berasingan di London sebuah kereta dibakar dan dua kebakaran berasingan di rumah bulan lalu kesemuanya dikaitkan dengan hartanah yang mempunyai hubungan dengan perdana menteri.
Tiga suspek lain dua warga Ukraine dan seorang warga Romania berumur antara 21 hingga 43 tahun telah pun didakwa berhubung dengan kebakaran tersebut.
Salah seorang daripada mereka didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pembakaran dengan niat membahayakan nyawa. Dua lagi menghadapi satu pertuduhan setiap seorang atas konspirasi melakukan pembakaran dengan niat yang sama.

Kesemua mereka dijadual hadir di Mahkamah Old Bailey, London pada Jumaat ini.
Polis tidak mendedahkan kewarganegaraan lelaki keempat yang ditahan itu.
Pada 12 Mei lalu, siasatan telah dibuka berhubung kebakaran yang menyebabkan kerosakan di luar rumah keluarga lama Starmer di Kentish Town, utara London, pada malam 11 Mei.
Menurut laporan media UK, Starmer masih memiliki rumah tersebut, namun dia telah berpindah ke kediaman rasmi perdana menteri di Downing Street selepas kemenangan parti Buruh dalam pilihan raya tahun lalu.
Polis turut menyiasat satu lagi kebakaran di hartanah lain yang dikaitkan dengan Starmer pada 11 Mei serta sebuah kereta yang dibakar pada 8 Mei. – AFP