BERLIN, 2 JAN – Pihak berkuasa Jerman mengumumkan kelmarin bahawa mereka menahan seorang lagi suspek berhubung dakwaan ancaman serangan ke atas Katedral Cologne yang terkenal di seluruh dunia semasa cuti perayaan, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan berkaitan dengan komplot kepada lima orang.
Suspek terbaharu, seorang lelaki Jerman-Turkiye berusia 41 tahun, telah ditahan pada malam Ahad di bandar barat Bochum di negeri Rhine-Westphalia Utara.
Polis menahan tiga orang pada pagi Ahad dan seorang lelaki minggu lalu. Kesemua suspek yang ditahan didakwa anggota rangkaian besar pelampau Islam yang melibatkan individu-individu di seluruh Jerman dan di negara Eropah lain, menurut ketua polis Cologne, Johannes Hermanns, lapor agensi berita Jerman dpa.
Empat suspek lain ditahan di bandar berbeza di seluruh Rhine-Westphalia Utara. Mereka yang ditahan minggu lalu dikenal pasti sebagai lelaki Tajik berusia 30 tahun. Tiada butiran diberikan untuk ketiga-tiga yang ditahan pagi Ahad.
Serangan itu sepatutnya dilakukan pada malam tahun baharu menggunakan sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan, lapor media tempatan.
Polis Cologne berkata dalam sidang akhbar pada Ahad bahawa garaj tempat letak kereta bawah tanah katedral itu telah digeledah dan anjing pengesan bahan letupan telah dikerahkan, tetapi tiada apa yang ditemui. Pintu masuk dan keluar garaj bawah tanah juga telah diperiksa untuk aktiviti mencurigakan.
Menteri Dalam Negeri, Rhine-Westphalia Utara, Herbert Reul pada Ahad menggelar penahanan terbaharu sebagai “kejayaan, yang mana saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyiasat.” – AP
