Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Feb – Pihak pendakwaan mengemukakan permohonan untuk melanjutkan tempoh tahanan reman Moryadi bin Haji Raya dalam kes pembunuhan seorang lelaki tempatan di kawasan Pos Kawalan Kuala Lurah pada 12 Januari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula membuat permohonan itu kerana pihak polis masih menjalankan penyiasatan.
Polis memperolehi bahan bukti dan maklumat baru berkaitan pembunuhan itu dan memerlukan pengesahan daripada tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mahkamah bahawa setakat ini, 45 orang saksi akan memberikan keterangan dan jumlah saksi ini dijangka akan bertambah.
Moryadi, dalam kertas pertuduhan, didakwa bersubahat bersama-sama yang lain atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Haji Aziz bin Haji Johara, 44, di kawasan Pos Kawalan Kuala Lurah.
Dia berdepan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 109 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang dibaca bersama seksyen 304 (1) (b) yang sama.
Sementara itu, Peguam Sheikh Noordin yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah yang dia akan menyediakan hujahan untuk dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi supaya anak guamnya dapat dibebaskan dengan ikat jamin.
Timbalan Pendakwa Raya tetap membantah untuk tertuduh diberi ikat jamin kerana dikhuatiri akan mengganggu bahan bukti dan saksi pendakwaan.
Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menetapkan 20 Februari untuk kes disebut semula dan memerintahkan tertuduh terus ditahan reman di sel polis.