Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suspek kes pecah rumah ditembak mati

    KOTA KINABALU, 14 Feb – Ketua Polis Bandar raya Kota Kinabalu ACP M.Chandra berkata penjenayah yang ditembak mati di Jalan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sepanggar semalam terlibat dalam 17 kes pecah rumah dan samun di sekitar daerah Kota Kinabalu yang membabitkan kerugian kira-kira RM300,000.

    Beliau berkata suspek yang telah dikenal pasti sebagai Kaidal Muksin, 30, itu merupakan warganegara Filipina dan dipercayai aktif melakukan jenayah di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Papar sejak 2009.

    “Hasil siasatan mendapati suspek aktif melakukan jenayah bersama empat lagi individu dan menerusi perbandingan cap jari suspek berkenaan terlibat dengan 10 kes pecah rumah, lima kes lagi pecah rumah dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), selain itu suspek juga dipercayai terlibat dengan dua kes samun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata tiga rakan sejanayah suspek telah ditangkap baru-baru ini dan kini salah seorang daripada mereka sedang menjalani hukuman penjara dan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang diburu.

    Sementara itu dalam kes berasingan, polis menyelamatkan tiga wanita dan seorang lelaki warga asing yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Cyber City, Jalan Lintas, 7 Februari lepas.

    Chandra berkata kesemua mangsa berusia 15 hingga 18 tahun itu mengaku telah diperdaya menggunakan aplikasi WeChat dengan menjanjikan pekerjaan pelayan restoran sebelum dipaksa melakukan aktiviti maksiat.

    “Berikutan pendedahan mangsa kita telah menahan sepasang kekasih berusia 22 dan 30 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut di sebuah rumah di Putatan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda