PROVO, 29 SEPT – Lelaki berusia 22 tahun yang dituduh membunuh Charlie Kirk akan menghadiri pendengaran mahkamah hari ini, di mana dia dan peguam bela baharunya akan memutuskan sama ada mahu meneruskan pendengaran awal bagi membolehkan hakim menentukan jika terdapat bukti yang cukup untuk membawa kes itu ke perbicaraan.
Pendakwa raya telah mendakwa Tyler Robinson atas tuduhan pembunuhan dan merancang untuk menuntut hukuman mati.
Sistem mahkamah negeri Utah memberi pilihan kepada tertuduh untuk mengetepikan hak undang-undang mereka menghadiri pendengaran awal dan sebaliknya terus menjadualkan sebutan kes untuk memasukkan pengakuan.
Kathryn Nester, peguam utama yang dilantik untuk mewakili Robinson, enggan mengulas mengenai kes itu menjelang perbicaraan hari ini.
Pendakwa raya di Pejabat Peguam Daerah Utah County juga tidak memberi maklum balas terhadap emel dan panggilan telefon yang meminta komen.
Pihak berkuasa menahan Robinson apabila dia hadir bersama ibu bapanya di pejabat sheriff di barat daya Utah untuk menyerah diri.
Pendengaran di Provo itu terbuka kepada orang ramai, hanya beberapa batu dari kampus Universiti Valley Utah di Orem, di mana ramai pelajar masih trauma akibat insiden tembakan pada 10 September dan pencarian suspek selama satu setengah hari.
Pihak pendakwa turut mendedahkan mesej teks serta bukti DNA yang dikatakan mengaitkan Robinson dengan pembunuhan itu.
Menurut Peguam Daerah, Jeff Gray, nota yang ditinggalkan Robinson kepada pasangannya sebelum kejadian menyebut dia berpeluang membunuh salah seorang tokoh konservatif terkemuka negara itu, “dan saya akan melakukannya.”
Tambah beliau, Robinson pernah menghantar mesej mengenai Kirk kepada pasangannya, “Saya sudah cukup dengan kebenciannya.” – AP


