MANILA, Filipina, 27 Jan – Tentera Filipina telah melancarkan serangan udara dan daratan yang dilaporkan telah mencederakan seorang suspek militan yang paling dikehendaki di Asia Tenggara yang cuba untuk menubuhkan pangkalan baru bagi satu perikatan yang menyokong kumpulan Islamic State (IS), kata para pegawai hari ini.
Laporan perisikan menunjukkan serangan itu telah membunuh empat militan, kemungkinan termasuk seorang warga Malaysia, dan dilaporkan telah mencederakan sasaran utama, Isnilon Hapilon, kata Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana kepada The Associated Press.
Menurutnya, Hapilon berupaya lari dari sebuah kem di pergunungan daerah pedalaman bandar Butig di selatan wilayah Lanao del Sur. “Pasukan tentera masih lagi memburunya,” kata Lorenzana.
Serangan udara menyasarkan kumpulan Hapilon pada Rabu dan kelmarin. Ratusan tentera, yang dibantu oleh tembakan artileri mula memburunya dan militan lain daripada kumpulan Maute di Butig, kata ketua turus tentera, Jeneral Eduardo Ano. – AP