KUALA LUMPUR, 30 Mei – Dua orang wanita warga Indonesia dan Vietnam yang dituduh membunuh abang tiri kepada pemimpin Korea Utara dengan menggunakan ejen saraf yang membawa maut, muncul di mahkamah Malaysia hari ini, dengan mengenakan ves kalis peluru dan dikawal ketat.
Kedua-dua wanita berkenaan, berusia dalam dua puluhan, mungkin berdepan hukuman mati, meskipun mereka menafikan membunuh Kim Jong-Nam, dengan mengatakan mereka ditipu hingga mempercayai mereka turut serta dalam rancangan realiti TV.
Seoul menuduh Korea Utara dalang di sebalik pembunuhan Februari lalu itu, satu dakwaan yang dinafikan oleh Pyongyang.
Siti Aisyah, 25 tahun, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28 tahun warga Vietnam muncul hari ini di mahkamah bagi sebutan sebelum perbicaraan, dengan peguam bela mereka membidas pendakwaan kerana gagal memberikan mereka dokumen-dokumen berkaitan.
“Konsep perbicaraan adil menuntut semua dokumen bahan seharusnya dibekalkan kepada pihak pembelaan seawal-awalnya,” kata Gooi Shoon Seng, ketua peguam bagi Siti Aisyah.

Penolong pendakwa raya Muhammad Iskandar Ahmad memberi jaminan kepada pihak pembelaan bahawa mereka akan menerima dokumen sebelum perbicaraan.
Mahkamah Tinggi dalam tempoh sebulan dijangka akan menetapkan tarikh apabila tertuduh akan membuat akuan. Pihak pendakwa dan peguam bela akan mempunyai tempoh 60 hari lagi untuk membuat persiapan bagi kes itu, dan selepas itu tarikh-tarikh perbicaraan boleh ditetapkan.
Hakim Mahkamah Majistret juga telah meluluskan permohonan pendakwaan supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan.
Polis Malaysia menuduh kedua-dua wanita itu menyapu muka Kim dengan ejen saraf VX yang diharamkan, apabila Kim hendak mengikuti penerbangan dari Kuala Lumpur ke Macau, tempat dia hidup dalam buangan.
Pihak polis masih berusaha menjejaki empat warga Korea Utara yang disyaki terlibat dalam komplot pembunuhan itu, yang dipercayai telah serta-merta pulang ke Pyongyang selepas pembunuhan itu.
Pembunuhan itu telah mencetuskan pertikaian diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara. – AFP