BANGKOK, 31 Mei – Seorang lelaki berasal dari Johor yang disyaki menjadi dalang dalam pembunuhan kejam seorang lelaki di Taman Pelangi, Johor Baharu Disember lepas, mungkin dihantar pulang ke Malaysia, minggu depan.
Menurut sumber, proses penghantaran pulang lelaki berusia 36 tahun itu mungkin selesai minggu depan sebelum dia boleh dihantar pulang ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan berkaitan pembunuhan yang mengejutkan seluruh Malaysia itu.
Suspek memasuki Thailand Disember tahun lepas, tidak lama selepas berlaku pembunuhan pada 17 Dis itu, tetapi kebebasannya berakhir apabila dia dan isterinya ditangkap polis di wilayah Chaiyaphum di timur laut negara ini.
Lelaki berkenaan dipercayai mendalangi pembunuhan lelaki berusia 44 tahun itu, yang dikenali sebagai’Ah Chiu’. Mangsa ditikam dan gilis tanpa belas kasihan dengan sebuah kereta berwarna putih di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi.
Pembunuhan lelaki yang dikaitkan dengan kumpulan kongsi gelap itu dirakam dan menjadi tular di media sosial. – Bernama
