Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suspek pendam cinta terhadap mangsa yang ditikam

    SHAH ALAM, 15 OKT – Remaja 14 tahun yang menikam rakan sekolah berusia 16 tahun sehingga maut di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya kelmarin, didapati memendam perasaan terhadap mangsa secara rahsia.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata suspek dikatakan ‘peminat rahsia; dan memendam perasaan cinta terhadap mangsa walaupun mereka berlainan kelas. 

    “Siasatan mendapati suspek mempunyai perasaan kepada mangsa tetapi tidak dikongsikan. Ia lebih kepada memendam perasaan. Mangsa dipercayai tidak mengetahui perasaan suspek,” katanya pada sidang media hari ini. 

    Beliau berkata mereka daripada kelas peralihan dan suspek pelajar tingkatan satu manakala mangsa tingkatan tiga. Selain itu, siasatan juga mendapati suspek dan mangsa tidak mempunyai hubungan atau interaksi sebelum kejadian. 

    “Faktor dorongan emosi dan pengaruh media sosial dikenal pasti sebagai antara punca suspek berkelakuan sedemikian,” katanya. Ditanya sama ada suspek mempunyai masalah mental, Shazeli berkata buat masa ini pihaknya belum dapat mengesahkan keadaan kesihatan mental suspek. 

    Berhubung dakwaan cinta suspek ditolak mangsa seperti tular di media sosial, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan kerana tiada keterangan yang jelas berkenaan emosi dua pelajar tersebut.

    “Kami perlu mendapatkan rujukan daripada pakar psikiatri berkenaan perkara itu, cuma mungkin keadaan emosi suspek tidak stabil semasa kejadian,” katanya.

    Berhubung penemuan nota, “Dunia ni palsu. Saya sudah menang” yang juga tular di media sosial, Shazeli mengesahkan nota itu ditemukan semasa suspek ditangkap.

    “Nota itu dirampas bersama-sama suspek ketika pemeriksaan awal dijalankan dan bukan di dalam tandas tempat kejadian berlaku. Berkaitan kandungan nota, ia masih dalam siasatan lanjut polis,” katanya.

    Shazeli berkata siasatan merangkumi semua aspek termasuk latar belakang suspek dan mangsa. Beliau meminta orang ramai tidak menyebarkan nota dan gambar mangsa serta suspek kerana mereka masih di bawah umur selain siasatan sedang berjalan.  

     “Polis memandang serius insiden ini dan menyeru semua termasuk pihak sekolah serta masyarakat untuk bersama-sama memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara,” katanya. – Bernama 

    Datuk Shazeli Kahar menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media dalam kes tikam pelajar perempuan di Mes Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. Suspek dikatakan memendam rasa terhadap mangsa. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda