Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suspek penggodam Rusia ditahan di Pulau Phuket, Thailand

    BANGKOK, 20 NOV – Polis Thailand menahan seorang suspek penggodam Rusia di pulau peranginan Phuket yang dikehendaki FBI atas tuduhan terlibat dalam serangan siber terhadap agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, kata pegawai kelmarin.

    Lelaki berusia 35 tahun itu, yang memasuki Thailand pada 30 Oktober melalui Lapangan Terbang Phuket, ditahan awal bulan ini di hotelnya dan kini ditahan sementara menunggu kemungkinan diekstradisi, menurut polis Thailand.

    Nama suspek tidak didedahkan, tetapi agensi berita Russia Today, mengenal pasti dia sebagai Denis Obrezko, berasal dari Stavropol. Laporan itu menyebut ahli keluarganya mengesahkan penahanan pada 6 November dan bercadang menentang proses ekstradisi ke AS.

    Dalam e-mel hari ini, Jabatan Kehakiman AS enggan mengulas mengenai kemungkinan ekstradisi atau memberikan maklumat lanjut. Jabatan Negara AS dan pegawai Amerika di Thailand turut enggan mengulas.

    Kementerian Luar Rusia dan kedutaan Rusia di Thailand juga tidak memberi respons, tetapi konsul jeneral Rusia di Phuket, Yegor Ivanov, memberitahu agensi berita negeri Rusia, Tass, bahawa konsulat telah ‘menerima pemberitahuan penahanan warga Rusia atas tuduhan melakukan jenayah teknologi maklumat’.

    “Dia ditahan pada 6 November dan dipindahkan ke Bangkok pada hari yang sama,” kata Ivanov tanpa memberikan butiran lanjut.

    Ilya Ilyin, ketua seksyen konsular kedutaan Rusia di Thailand, memberitahu Tass pada Isnin lalu bahawa diplomat Rusia telah melawat suspek di penjara di Bangkok. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda