STOCKHOLM, 2 MEI – Seorang remaja berusia 16 tahun ditahan di Sweden selepas kejadian tembakan yang mengorbankan tiga remaja telah dibebaskan manakala tiga lelaki telah ditahan, kata pendakwa raya hari ini.
“Kesangsian terhadap remaja berusia 16 tahun itu semakin berkurangan semasa dia dalam tahanan. Dia tidak lagi disyaki melakukan jenayah,” kata pendakwa raya, Andreas Nyberg dalam satu kenyataan.
Dua lelaki berusia 25 dan 35 tahun ditahan kelmarin kerana disyaki menghasut untuk melakukan pembunuhan, manakala lelaki ketiga berusia 20an ditahan semalaman hingga hari ini kerana disyaki membunuh, kata kenyataan itu.
Tiga remaja berusia 15 hingga 20 tahun terbunuh dalam insiden tembakan Selasa lalu di sebuah salun rambut di tengah Uppsala, kira-kira 70 kilometer di utara Stockholm.
Kejadian tembakan itu mengejutkan Sweden berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keganasan kumpulan, walaupun polis tidak mengesahkan tembakan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.
Media Sweden telah melaporkan seorang daripada yang maut mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah, walaupun polis tidak mengesahkan laporan tersebut.
Perdana Menteri, Ulf Kristersson pada Rabu lalu menggelar kejadian itu sebagai tindakan ekstrem. – AFP
