KOLKATA, 20 JAN – Seorang lelaki yang didapati bersalah atas tuduhan merogol dan membunuh seorang doktor di India dijatuhi hukuman penjara seumur hidup hari ini, dalam satu kes yang mencetuskan bantahan besar-besaran serta mogok hospital di seluruh negara tahun lalu.
Sanjoy Roy, 33, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Hakim Anirban Das, yang memutuskan bahawa kes tersebut tidak layak untuk hukuman mati kerana tidak tergolong dalam kategori ‘kes paling jarang berlaku’.
Mayat mangsa berusia 31 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sebuah hospital kerajaan di Kolkata pada Ogos 2024 mencetuskan kemarahan dan kebimbangan terhadap keselamatan pekerja penjagaan kesihatan. Roy, satu-satunya tertuduh, ditahan sehari selepas penemuan mayat tersebut.
Keluarga mangsa, yang sebelum ini menggesa agar pesalah dijatuhkan hukuman mati, menyatakan rasa terkejut terhadap keputusan mahkamah.
Kes itu turut mencetuskan bantahan besar-besaran oleh para doktor di hospital kerajaan, dengan tuntutan untuk meningkatkan keselamatan pekerja kesihatan. Tindakan itu mendapat sokongan rakyat yang turun ke jalanan di Kolkata dan beberapa kawasan lain di India.
Mahkamah Agung India pada tahun lalu mengarahkan penubuhan pasukan petugas kebangsaan bagi mengkaji cara memperkukuhkan keselamatan untuk pekerja penjagaan kesihatan, menyifatkan pembunuhan itu sebagai kejadian yang ‘mengejutkan hati nurani negara’.
Kes Roy dibicarakan dalam sistem mahkamah pantas, berbeza dengan sistem perundangan India yang biasanya mengambil masa lama. Roy, yang mengaku tidak bersalah, tetap menegaskan bahawa dia tidak terlibat dalam jenayah itu.
Ibu mangsa, yang berada berhampiran Roy ketika keputusan dijatuhkan, turut menyuarakan rasa tidak puas hati dan menyatakan keluarga itu akan terus menuntut hukuman yang lebih berat.
“Kami terkejut dengan keputusan ini,” kata bapa mangsa kepada AFP sambil menitiskan air mata. “Kami akan teruskan perjuangan ini dan tidak akan membiarkan siasatan berhenti.Apa jua yang terjadi, kami akan berjuang untuk keadilan.”
Tragedi itu mengingatkan orang ramai kepada kes rogol dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku pada tahun 2012 di sebuah bas di Delhi, yang turut mencetuskan bantahan besar-besaran dan meningkatkan kesedaran tentang keganasan terhadap wanita. – AFP