SURABAYA, Indonesia, 14 Julai – Pihak berkuasa Indonesia telah menahan seorang penyeludup hidupan liar dan merampas sembilan ekor kukang yang dilindungi dan burung enggang gunung atau julang emas, kata pegawai hari ini. Spesies terancam itu telah diseludup dari Jawa dan Sumatera, pulau yang memiliki hutan yang luas dan rumah kepada haiwan-haiwan luar biasa. Para pegawai memberkas suspek di bandar Kediri, wilayah Jawa Timur kelmarin selepas menerima banyak laporan dan memantau beberapa akaun media sosial tempat penyeludup haiwan sering menjual mangsa mereka.
“Kami telah memberkas seorang suspek, penjual berusia 23 tahun. Kami telah memantaunya sudah lama,” kata Beny Bastiawan, seorang pegawai kanan di kementerian perhutanan dan alam sekitar memberitahu AFP. Suspek merancang untuk menjual haiwan itu sekitar 200,000 rupiah (AS$15) dalam pasaran tempatan namun para pegawai menganggarkan ia mungkin bernilai dua juta rupiah jika dijual di China, tambah Bastiawan.
Sebanyak 10 haiwan terancam kini masih di bawah pengawasan doktor haiwan di kementerian alam sekitar dan perhutanan.Di bawah undang-undang Indonesia, seseorang yang ditangkap menjual haiwan dilindungi akan berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda 100 juta rupiah (AS$7,500). – AFP
