MAGDEBURG, 5 JAN – Suspek insiden rempuhan kereta di pasar Krismas di Magdeburg, Jerman, telah terlibat dalam tujuh prosiding siasatan dalam tempoh dua tahun sebelum serangan itu, menurut akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung, semalam.
Berdasarkan maklumat yang disahkan oleh agensi berita Jerman, dpa, lelaki itu merupakan pengadu dalam lima kes dan tertuduh dalam dua kes lain.
Sejurus sebelum Krismas, suspek yang dikenali hanya sebagai Taleb A, mengikut undang-undang privasi Jerman, memandu kereta pada kelajuan tinggi merempuh Pasar Krismas Magdeburg, menyebabkan lima maut dan hampir 300 lagi cedera. Beliau kini dalam tahanan.
Taleb A, yang bekerja sebagai doktor di sebuah hospital psikiatri di Bernburg sejak 2020, bertugas merawat penagih yang telah melakukan jenayah.
Dalam satu daripada prosiding siasatan, Taleb A didapati mengugut seorang peguam yang pernah mewakilinya, termasuk keluarga serta kakitangan pejabat peguam itu. Selepas aduan dibuat, polis melawatnya di tempat kerja pada 4 Oktober 2024 untuk memberi amaran bahawa beliau sedang dipantau.
Jurucakap Salus, syarikat yang mengendalikan hospital itu memberitahu dpa bahawa pihak polis tidak berkongsi alasan lawatan berkenaan dengan pihak pentadbiran hospital. – Bernama