LIEG, 30 Mei – Seorang lelaki bersenjata yang berada dalam pemerhatian polis kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Islam melancarkan serangan di Belgium, membunuh dua anggota polis wanita dengan senjata polis itu sendiri, sebelum membunuh seorang lagi lelaki berhampiran.
Insiden berlaku di bandar perindustrian Liege kira-kira jam 10:30 pagi waktu tempatan semalam ketika penyerang yang bersenjatakan pisau menikam bertubi-tubi dua anggota berkenaan, sebelum menggunakan senjata api polis itu sendiri untuk membunuh mereka. Pendakwa raya persekutuan sudah melancarkan siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Satu rakaman video amatur yang disiarkan penyiar rasmi Belgium menunjukkan berlakunya pergelutan di jalan raya.
“Dengan bersenjatakan pisau, suspek mengekori dan menyerang dua pegawai polis dan menggunakan senjata api anggota berkenaan untuk membunuh mereka,” kata pendakwa raya, Philippe Dulieu dalam satu sidang media.
“Dia meneruskan berjalan kaki, menyerang sebuah kereta berhampiran di mana dia melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki yang berusia 22 tahun, yang duduk di tempat penumpang. Lelaki muda itu kemudiannya meninggal dunia.

Suspek kemudian masuk ke sekolah Leonie de Waha dan menahan seorang wanita sebagai tebusan.
“Sebaik polis tiba, suspek mula menembak ke arah mereka sehingga mencederakan beberapa anggota sebelum berjaya dibunuh pihak polis.”
Tahap keselamatan Belgium terus diletakkan pada amaran tinggi selepas bebe-rapa siri serangan, termasuk pengeboman berkembar di Brussels pada 2016 dipercayai perbuatan kumpulan Islamic State.
Satu sumber yang rapat dengan siasatan memberitahu AFP bahawa lelaki bersenjata itu berada dalam senarai pemerhatian polis khas kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan radikal.
Menurut sumber, suspek yang dikenali sebagai Benjamin Herman, lahir pada tahun 1982, mempunyai sejarah jenayah lampau terhadap kes rompakan, keganasan dan penjualan dadah. – AFP