Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suspek serangan trem diberkas

    UTRECHT, 19 Mac – Polis Belanda telah menyoal-siasat seorang suspek kelahiran Turki bagi insiden tembakan ke atas sebuah trem di Utrecht, yang mengakibatkan tiga orang terkorban dalam apa yang dianggap oleh para pegawai sebagai kemungkinan serangan pengganas, sementara dua orang lagi diberkas kerana didakwa terlibat dalam serangan itu.

    Terdahulu polis telah melancarkan satu pemburuan besar-besaran bagi Gokmen Tanis, 37, dengan mengeluarkan sekeping gambar suspek tembakan dan memberi amaran kepada orang awam agar tidak menghampirinya susulan serangan itu, di mana lima orang telah mengalami kecederaan.

    Beberapa buah masjid dan sekolah di seluruh bandar keempat terbesar Belanda itu ditutup susulan kejadian itu, sebelum anggota pasukan bersenjata mengepung sebuah bangunan dan memberkasnya.

    Pihak berkuasa berkata mereka akan menyiasat kemungkinan motif pengganas bagi penembakan itu tetapi Perdana Menteri, Mark Rutte berkata mereka ‘tidak boleh mengecualikan’ motif-motif lain, termasuk masalah keluarga.

    “Kami baru mendapat berita bahawa suspek yang kami cari telah diberkas,” kata ketua Polis Utrecht, Rob van Bree pada satu sidang media.

    Datuk bandar, Jan van Zanen berucap pada sidang media yang sama bahawa ia adalah ‘hari hitam buat Utrecht’, sementara pegawai pendakwa raya Rutger Jeuken berkata bahawa ‘ia seperti kami menangani satu motif pengganas’.

    Drama bermula apabila tembakan dilepaskan ke arah sebuah trem berdekatan dagara 24 Oktoberplein, menyebabkan orang ramai lari dari trem itu dan mencetuskan satu tindak balas polis secara besar-besaran.

    Seorang saksi memberitahu penyiar NOS bahawa mereka terlihat seorang wanita yang mengalami kecederaan berlari keluar dari trem, di mana pakaiannya berlumuran darah dan kemudian rebah. – AFP

    Polis tindak balas keganasan Belanda bersiap sedia untuk menyerbu sebuah rumah selepas satu insiden di Utrecht. Suspek serangan tembakan telah disoal-siasat oleh polis Belanda sementara dua lagi diberkas atas dakwaan terlibat dalam serangan itu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda