Saturday, March 1, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suspek tikaman di Universiti Virginia ditahan, mangsa dalam keadaan kritikal

    CHARLOTTESVILLE, 28 FEB – Seorang suspek tikaman di kampus Universiti Virginia telah ditangkap kelmarin, dan seorang mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal, menurut pihak berkuasa.

    Polis di kampus Charlottesville bertindak balas terhadap laporan kejadian tikaman dan mengeluarkan amaran kecemasan, menyatakan bahawa suspek telah dilihat dan melarikan diri dengan berjalan kaki. Tidak lama selepas itu, polis mengesahkan seorang suspek lelaki telah ditahan dan arahan perlindungan di tempat telah ditarik balik. The Daily Progress melaporkan bahawa suspek ditangkap tanpa sebarang insiden.

    Seorang mangsa telah dibawa ke UVa Health University Medical Center, kata jurucakap Eric Swenson dalam satu e-mel. Jurucakap universiti, Bethanie Glover menyatakan mangsa berada dalam keadaan kritikal semalam. Namun, Swenson dan Glover tidak memberikan butiran lanjut mengenai kecederaan mangsa.

    Glover juga memaklumkan bahawa suspek adalah seorang lelaki kulit putih pertengahan umur, dan kedua-duanya – suspek serta mangsa – tidak mempunyai sebarang kaitan dengan universiti.

    Polis Charlottesville sedang menjalankan siasatan terhadap ‘serangan’ tersebut, yang berlaku dalam bidang kuasa bandar itu, kata Glover.

    Kejadian itu merupakan kali kedua dalam minggu yang sama di mana arahan perlindungan dikeluarkan di universiti tersebut. Pada Selasa, polis telah mencari seorang suspek yang terlibat dalam satu sekatan jalan sebelum dipercayai melarikan diri dari kawasan itu. – AP

    Polis Charlottesville mengiringi suspek yang didakwa melakukan serangan dengan pisau di kawasan Universiti Virginia pada 27 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda