DUBAI, 20 Feb – Sebuah syarikat yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mendedahkan apa yang dikatakannya sebagai susu formula anak damit berasaskan susu unta, sejenis serbuk campuran segera yang bertujuan untuk menggantikan susu anak damit yang alah kepada susu lembu.
Industri Emiriah bagi Susu dan Produk Unta atau ‘Camelicious’ semalam telah mendedahkan produk itu di Pameran Gulfood 2018, iaitu sebuah pameran perdagangan makanan dan minuman antarabangsa yang berlangsung hingga Khamis ini di Dubai.
Susu itu yang dikatakan sesuai bagi kanak-kanak berusia dari satu hingga tiga tahun, menjadi sasaran utama bagi anak damit yang alah kepada susu lembu.
Susu unta sejak berabad lamanya menjadi makanan asasi kepada orang-orang Badwi di seluruh Teluk itu, yang terus memasukkan susu yang kaya vitamin itu dalam diet moden mereka.
Susu dan daging unta telah mendapat sambutan sebagai makanan istimewa di Teluk itu sejak beberapa tahun kebelakangan, dengan unta bersama hidangan coklet, carpaccio, burger unta dan terbaharu susu formula unta yang bakal memasuki restoran dan dapur di seluruh dunia.
Syarikat itu mendakwanya sebagai produk ‘susu anak damit segera pertama yang terbaharu di dunia yang diproses daripada susu unta’.
Menurut pengurus besar Camelicious, Saeed Juma bin Subaih berkata susu unta merupakan sebahagian penting dalam budaya Arab dan Islam secara amnya dan budaya serta warisan UAE secara khusus.
Tambahnya, susu itu benar-benar melengkapi keperluan dan tradisi UAE yang diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya. – AFP