(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Susu merupakan antara sumber pemakanan yang berkhasiat dan mudah diperolehi.
Sumber susu yang paling lumrah dan mudah diperolehi adalah daripada susu haiwan mamalia khususnya haiwan ternakan seperti unta, lembu, kambing dan seumpamanya.
Selain diminum begitu sahaja, susu juga merupakan bahan ataupun ramuan dalam sebahagian makanan dan minuman.
Pada kebiasaannya, susu yang digunakan sebagai bahan atau ramuan makanan dan minuman adalah susu mentah (segar) ataupun susu yang telah diproses. Selain itu terdapat juga produk-produk tenusu yang lain dihasilkan daripada susu melalui proses dan teknik tertentu seperti keju, krim, dadih, ais krim, minyak, mentega dan seumpamanya.
Menyentuh mengenai susu, produk makanan dan minuman yang dihasilkan daripada susu, timbul persoalan adakah kesemua jenis susu haiwan itu halal diminum atau dimakan? Penjelasan mengenainya adalah seperti berikut.
Susu haiwan
Menurut fuqaha’, perbincangan mengenai susu haiwan, sama ada ia halal atau sebaliknya, adalah bergantung kepada sumber ia diperolehi, iaitu daripada jenis haiwan mana susu itu diperolehi.
Sumber susu haiwan itu terbahagi kepada tiga, iaitu susu yang diperolehi daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya, susu daripada anjing dan babi, dan terakhir sekali susu daripada kesemua haiwan yang suci selain daripada apa yang disebutkan di atas. Penjelasannya adalah seperti berikut.
Pertama: Haiwan yang boleh dimakan dagingnya
Jenis haiwan yang termasuk dalam kategori ini antaranya ialah unta, lembu, kambing biri-biri, kuda, kijang dan selainnya daripada binatang buruan dan bukan binatang buruan.
Binatang yang disebutkan ini adalah suci berdasarkan al-Qur’an, hadits-hadits yang shahih serta ijma‘ para ulama. Susu yang diperolehi daripada haiwan dalam kategori ini adalah dihukumkan suci.
Dalil yang menunjukkan tentang kesucian susu haiwan yang halal dimakan dagingnya ialah firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:
“Dan sesungguhnya pada binatang ternakan itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu.
Kami memberi kamu minum dari apa yang ada dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara hampas makanan dan darah, yang mudah diminum lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.” (Surah an-Nahl: 66)
Haiwan yang lahir hasil kacukan antara dua binatang yang halal, umpamanya kuda betina dan keldai liar (keldai hutan) atau kacukan antara kuda betina dan lembu, adalah halal tanpa sebarang percanggahan (khilaf). Oleh yang demikian, susu yang diperolehi daripada haiwan dalam kategori ini adalah suci.
Kedua: Haiwan anjing dan babi
Termasuk dalam kategori anjing dan babi, apa-apa juga haiwan yang lahir hasil daripada campuran atau kacukan daripada anjing atau babi dengan haiwan suci.
Anjing dan babi serta haiwan hasil kacukan daripada keduanya adalah najis secara ittifaq (tanpa ada perselisihan di antara ulama Syafi‘iyyah). Oleh yang demikian, susu yang diperolehi daripada haiwan dalam kategori ini juga adalah najis.
Ketiga: Haiwan suci yang tidak boleh dimakan dagingnya
Contoh haiwan yang termasuk dalam kategori ini ialah seperti kucing, keldai kampung (keldai negeri) dan lain-lain. Susu yang diperolehi daripada haiwan betina dalam kategori ini adalah najis.
Haiwan yang lahir hasil kacukan antara binatang yang halal dan yang haram, umpama baghal, adalah haram. Ini kerana adanya larangan memakan dagingnya berdasarkan hadits dan juga kerana baghal adalah haiwan hasil kacukan binatang yang halal dan haram, iaitu antara kuda betina dan keldai kampung jantan atau sebaliknya.
Kuda adalah binatang yang halal, manakala keldai kampung sekalipun ia menjadi liar adalah binatang yang haram. Oleh itu, susu yang diperolehi daripada haiwan jenis ini adalah juga najis.
Susu yang diperah daripada bangkai haiwan
Susu yang diperah atau diambil daripada bangkai haiwan kerana tidak disembelih dengan cara yang dituntut oleh syara‘, seperti bangkai lembu, kambing dan selainnya, maka susu tersebut adalah najis tanpa ada perselisihan ulama mengenainya (khilaf).
Menurut syara‘, ada beberapa keadaan bagaimana seekor haiwan itu dianggap menjadi bangkai, antaranya ialah haiwan yang mati semata-mata tanpa disembelih menurut syara‘. Atau penyembelihan yang bukan syar‘ie seperti menyembelih haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya, umpamanya keldai kampung (keldai negeri) dan baghal (binatang kacukan daripada keldai negeri jantan dan kuda betina). Kedua-dua haiwan ini adalah haram dimakan dagingnya.
Atau menyembelih haiwan yang halal dimakan dagingnya akan tetapi dengan cara sembelihan yang tidak menepati hukum syara‘, umpamanya haiwan yang disembelih dengan menggunakan tulang. Atau haiwan yang disembelih oleh orang bukan Islam. Atau haiwan sembelihan tersebut adalah hasil perburuan seorang yang beragama Islam yang sedang dalam ihram.
Sebagai kesimpulan, hanya susu yang diperolehi daripada haiwan yang halal dimakan dihukumkan suci. Manakala susu yang diperolehi daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya atau haiwan yang menjadi bangkai adalah dihukumkan najis.
Manakala susu yang diperolehi daripada anjing dan babi serta haiwan hasil kacukan daripada keduanya adalah najis secara ittifaq, iaitu tanpa ada perselisihan di antara ulama Syafi‘iyyah.