Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Susu sejuk beri kelegaan semasa cuaca panas

    JEPUN – Ramai orang hilang selera makan di tengah cuaca panas.

    Namun, susu boleh menjadi pilihan yang baik pada waktu sedemikian kerana nilai pemakanannya yang tinggi.

    Di sini, cef Yoshiko Fukuda mengajar cara membuat manisan sejuk menggunakan susu.

    Menurut Tatsuya Hasegawa dari jabatan pemasaran susu Meiji Co., lembu tenusu terdedah kepada haba dan pengeluaran susu merosot semasa musim panas.

    Panas tahun ini amat teruk, dan terdapat kebimbangan mengenai penurunan dalam pengeluaran susu dari musim luruh dan seterusnya.

    Minuman ubi kayu Vietnam che, minuman susu dengan kiub beri, dan susu dan ais krim nanas. – ANN/The Japan News
    Campuran beri yang dilenyek dituang ke dalam dulang kiub ais. – ANN/The Japan News

    Sementara itu, harga makanan telah melonjak disebabkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan yen yang lemah, dan petani tenusu terus berdepan keadaan perniagaan yang sukar.

    Hasegawa berkata, “Saya berharap orang ramai akan menyokong petani tenusu Jepun dengan meminum susu.”

    Fukuda telah mencipta resipi susu selama kira-kira 10 tahun untuk menggalakkan penggunaan yang lebih tinggi. Susu sangat sesuai untuk melegakan keletihan musim panas. “Bukan sahaja awda boleh meminumnya seperti sedia ada, tetapi juga boleh menikmati perubahan rasa dengan menjadikannya manisan,” katanya.

    Dia berkongsi beberapa resipi menggunakan bahan-bahan yang disenaraikan. Hidangan pertama ialah susu dan ais krim nanas.

    Masukkan telur dan gula pasir ke dalam mangkuk dan gaul. Masukkan susu dan gaul lagi. Tapis melalui penapis jaringan halus, masukkan ke dalam periuk dan panaskan.

    Kacau sebati dan berterusan dengan spatula getah. Apabila adunan mula suam iaitu sebelum mula mendidih, kecilkan api dan biarkan adunan di reneh selama kira-kira lima minit untuk membenarkan ia pekat.

    Apabila adunan pekat, angkat dari api, masukkan susu pekat dan gaul. Letakkan campuran dalam bekas dan beku selama beberapa jam. Apabila adunan menjadi pejal, keluarkan dari peti sejuk dan kacau dengan garfu. Masukkan nenas, gaul dan sejukkan dalam peti ais semula.

    Apabila adunan telah mengeras, masukkan ke dalam mangkuk hidangan dan hiaskan dengan wafer atau buah pilihan awda.

    Resipi kedua adalah masukkan buah ke dalam beg plastik dan hancurkan dengan tangan. Masukkan air, gaul, tuang ke dalam dulang ais kiub dan bekukan. Letakkan setengah pisang yang dilenyek dengan garpu di bahagian bawah setiap gelas, tambahkan tiga atau empat kiub ais beri, dan tuangkan sedikit susu.

    Hidangan terakhir ialah manisan khas Vietnam yang dipanggil che. Masukkan santan, susu dan gula ke dalam periuk dan panaskan. Apabila gula larut, tutup api dan biarkan sejuk. Rebus ubi kayu dalam air mendidih kemudian sejukkan dalam air sejuk. Susun buah beri campuran, ubi kayu, nata de coco, manga dan buah kiwi yang dicincang halus dalam setiap gelas, dan tuangkan adunan santan.

    “Susu menambah rasa manis yang lembut,” kata Fukuda. – ANN/The Japan News

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...