DOHA, 27 MAC – Menjelang musim perjalanan sempena Aidilfitri, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad mengumumkan bahawa ia telah bersiap sedia sepenuhnya bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lancar untuk semua penumpang berlepas dan tiba, dengan jangkaan peningkatan jumlah perjalanan.
Bagi menyokong pergerakan penumpang yang lancar, lapangan terbang itu telah mengeluarkan beberapa panduan perjalanan. Penumpang dinasihatkan untuk mendaftar masuk secara dalam talian dan tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas serta merujuk kepada syarikat penerbangan masing-masing mengenai pilihan daftar masuk dalam talian bagi mempercepatkan perjalanan, menurut agensi berita Qatar (QNA).
Qatar Airways menawarkan daftar masuk awal bagi penumpang kelas ekonomi, yang boleh dilakukan antara 12 hingga 4 jam sebelum waktu berlepas sehingga 11:59 malam pada 5 April, kecuali untuk penerbangan ke Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu akan menikmati diskaun 10 peratus di premis Qatar Duty Free. Lapangan terbang itu juga menggalakkan penumpang menggunakan kiosk daftar masuk dan serahan bagasi layan diri, yang membolehkan mereka mencetak pas masuk, menandakan bagasi, serta meneruskan perjalanan ke kawalan sempadan melalui e-gate.
Penumpang diingatkan bahawa peruntukan bagasi dan had berat bagasi akan dikuatkuasakan dengan ketat oleh semua syarikat penerbangan.
Bagasi yang tidak mengikut piawaian atau bersaiz besar adalah tidak digalakkan. Kawasan pembungkusan semula bagasi yang dilengkapi mesin penimbang turut disediakan di dewan berlepas bagi membantu penumpang.
Bagi mengurangkan kesesakan, lapangan terbang itu menggesa penumpang dan pelawat supaya menggunakan kemudahan tempat letak kenderaan khas untuk penghantaran dan pengambilan pantas serta parkir jangka pendek, selain mengelakkan meninggalkan kenderaan tanpa pengawasan di kawasan tepi jalan. – Bernama
