CHIBA, 23 NOV – Rangkaian restoran susyi Jepun Choushimaru Co., baru-baru ini telah meraih gelaran Rekod Dunia Guinness bagi pertunjukan melapah tuna serentak terbesar, yang dijalankan di 71 lokasi di dalam dan sekitar Tokyo, lapor Agensi Berita Kyodo.
Tuna sirip biru seberat kira-kira 40 kilogram yang diperoleh dari Wilayah Nagasaki digunakan bagi acara itu dan cef di setiap restoran mula memotong ikan gergasi itu bermula kira-kira 11:30 pagi pada 1 November, yang diraikan sebagai ‘hari susyi’ di Jepun.
Semua lokasi, termasuk cawangan di wilayah Tokyo, Saitama, Chiba dan Kanagawa, dihubungkan melalui persidangan video dan mengikuti format pertunjukan yang sama.
Choushimaru yang mengendalikan rangkaian restoran susyi terutama di kawasan metropolitan Tokyo, berbangga dengan kemahiran cef susyinya di semua cawangan.
Ia menghidupkan semula pertunjukan melapah tuna yang sebelum ini dihentikan selepas pandemik koronavirus.
Apabila usaha itu diiktiraf Rekod Dunia Guinness, ketua syarikat itu, Ken Ishii, meluahkan kegembiraan dan menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil “kerjasama pelbagai jabatan dalam aspek perolehan dan pengurusan kebersihan.”
Di sebuah restoran di Tokyo yang dibuka kepada media, keluarga dan pelanggan lain yang menyaksikan pertunjukan itu dan memesan hidangan tuna segar yang disediakan di situ.
“Satu persembahan yang sangat mengagumkan,” kata seorang wanita berusia lingkungan 70an yang berkunjung bersama suaminya. “Tuna separa berlemak itu cair di dalam mulut dan rasanya sangat enak.”
Di Jepun, negara yang banyak menggunakan tuna, ikan itu adalah bahan utama dalam susyi. Beberapa dekad lalu, persekutuan kesatuan kedai susyi seluruh Jepun menetapkan 1 November sebagai ‘hari susyi’, kerana musim luruh merupakan masa paling enak untuk bahan-bahan tersebut, apabila ikan berlemak dan beras yang baru dituai mula memenuhi rak kedai. – Bernama






