PETALING JAYA – Resipi masakan Malaysia yang ‘disuntik’ dalam penyediaan susyi membawa tuah kepada Cef Tai Koon Siang apabila beliau dinobatkan juara Piala Dunia Susyi 2018 di Tokyo, Jepun baru-baru ini.
Tai atau lebih dikenali sebagai Cef Sky Tai, menghasilkan susyi bertemakan ‘Malaysia-Truly Asia’ yang mempamerkan keunikan variasi rasa masakan Malaysia dalam pertandingan pada 23 dan 24 Ogos itu, berjaya menewaskan pesaing dari Brazil, Filipina dan tuan rumah, Jepun.
Beliau yang juga ketua cef di Singapore Standing Sushi Bar, berkata konsep itu dipilih untuk mengetengahkan warisan budaya makanan di Malaysia ke dalam makanan tradisonal negara matahari terbit itu.
“Susyi yang dihasilkan menggunakan resipi masakan masyarakat tempatan seperti Nasi Lemak, Laksa, beberapa masakan Cina dan India serta Baba Nyonya.
“Selain rasa yang unik, faktor utama yang dinilai juri adalah kemahiran peserta dalam penyediakan susyi seperti skil mengunakan pisau, skil pemiletan dan rolling skill,” katanya ketika ditemui pada majlis meraikan kejayaannya anjuran Majlis Makanan Laut Norway (NSC), di sini baru-baru ini.
Anak jati Kluang, Johor itu menjadi johan bagi kategori tradisional Edomae Susyi dan susyi kreatif dengan skor markah tertinggi yang sekali gus menggondol gelaran juara keseluruhan.
Selain Tai, seorang lagi peserta negara, Cef Steve Chua Kok Hua turut berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir dalam pertandingan sama.
Kedua-dua peserta itu mendapat latihan seni menghasilkan susyi menerusi Akademi Susyi Global tajaan NSC dengan kerjasama Institut Kemahiran Susyi Dunia. Tai berkata kejayaan itu menebus kekecewaannya yang mendapat tempat kedua dalam pertandingan sama pada tahun 2016. – Bernama