Oleh Daniel Lim
BELAIT, 28 FEB – Dua orang cef tempatan, Dayang Noreen binti Awang Sapri dan Dayang Rohana binti Mahmud, telah mencipta nama apabila mereka kembali daripada pertandingan memasak di Malaysia, dengan Persatuan Sungai Teraban (SUTERA) mengadakan majlis sambutan di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kampung Pandan hari ini.
Ketua Perpustakaan DBP di Kampung Pandan, Dayang Nursarfina Syazwani binti Muhd Khairin hadir menyaksikan majlis tersebut, ditemani oleh Penasihat SUTERA, Awang Ramli bin Haji Chi, dan ahli-ahli persatuan.
Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Awang Ramli sebagai wakil Presiden, Awang Kadir bin Haji Bujang, beliau menjelaskan bagaimana dua orang cef Brunei telah mencipta nama mereka dalam Piala Dunia Kulinari Malaysia 2023 (MCWC23) yang diadakan pada 21 hingga 23 Februari lalu.
“Alhamdulillah, Cef Noreen berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan yang melibatkan lebih daripada 600 orang cef dari seluruh dunia, seperti Jepun, Korea, China, Eropah dan lain-lain.
“Sementara itu, Cef Rohana, telah dipilih oleh Persatuan Kulinari Malaysia atas kebolehannya, untuk menjadi salah seorang pengadil dalam pertandingan tersebut.”
Awang Ramli juga menerangkan bagaimana Cef Rohana telah berjaya meraih dua pingat perak dalam pertandingan antarabangsa yang beliau sertai pada tahun 2019.
